Pahang salur bantuan tunai kepada 670 penuntut di Timur Tengah

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan menyalurkan bantuan tunai kepada 670 anak jati Pahang yang sedang meneruskan pengajian di Timur Tengah bermula 13 April ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap penuntut akan menerima bantuan wang tunai RM200 seorang membabitkan peruntukan keseluruhan RM134,000 menerusi sumbangan Yayasan Pahang (YP).

Menurutnya, kerajaan Pahang tidak meminggirkan penuntut di luar negara dan terus menjaga kebajikan mereka sama seperti pelajar di dalam negara.

"Saya difahamkan seramai 670 penuntut iaitu anak jati Pahang yang berada di Timur Tengah, daripada jumlah itu 600 sedang belajar di Mesir, 60 (Jordan) dan 10 lagi di Maghribi.

"Pembayaran bantuan tunai itu akan dibayar secara dalam talian dan senarai nama penuntut ini diperolehi daripada Pegawai Atase Pendidikan YP di Mesir dan Yang Dipertua Badan Kebajikan Pahang di Jordan,” katanya.

Wan Rosdy berkata, sebahagian besar mereka ini bukan pelajar tajaan YP tetapi kerajaan Pahang tetap prihatin dengan menyalurkan bantuan kepada mereka.

Katanya, bantuan itu diberikan atas dasar mengambil peduli atas kebajikan mereka di sana.

"Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban perbelanjaan yang dihadapi dalam tempoh kawalan pergerakan akibat wabak koronavirus (Covid-19)," katanya.

Artikel Berkaitan: