Integriti 'dijual' bersama MC

PENAHANAN lima individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual dan memalsukan sijil cuti sakit (MC) di Pekan, Pahang bukan sekadar kes jenayah biasa.
Sebaliknya, ia membuka ruang perbincangan dan pelbagai persoalan mengenai isu integriti, penyalahgunaan dokumen rasmi kerajaan dan kesan terhadap sistem kesihatan dan sektor pekerjaan negara.
Sijil cuti sakit merupakan dokumen penting yang oleh perubatan bagi mengesahkan seseorang pekerja tidak berupaya menjalankan tugas atas faktor kesihatan.
Dokumen tersebut bukan sahaja menjadi asas kepada majikan meluluskan cuti bergaji, malah berfungsi sebagai instrumen menjaga kebajikan pekerja dan keselamatan tempat kerja.
Oleh itu, sebarang usaha memalsukan atau memperdagangkan sijil tersebut merupakan satu pengkhianatan terhadap sistem dibina atas dasar kepercayaan dan profesionalisme.
Pendedahan kegiatan itu dipercayai menggunakan dokumen rasmi kerajaan bagi tujuan mendapatkan keuntungan menunjukkan betapa seriusnya isu berkenaan.
Suspek masing-masing bekerja sebagai pemilik bengkel, mekanik dan pencuci serta dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam kegiatan berkenaan.
MC pula dipercayai dijual pada harga RM50 hingga RM200 sekeping.
Selain itu, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai dijalankan secara terancang dengan melibatkan individu berperanan mencari pelanggan dan menjual MC.
Lebih membimbangkan jika sijil tersebut mungkin diperoleh melalui individu yang mempunyai akses kepada kemudahan kesihatan awam.
Jika benar, perkara tersebut mencerminkan kelemahan yang perlu diberi perhatian segera.
Dalam konteks dunia pekerjaan, penggunaan MC palsu memberi kesan langsung hubungan antara majikan dan pekerja.
Tindakan segelintir individu menyalahgunakan MC boleh menyebabkan majikan menjadi lebih curiga terhadap pekerja yang benar-benar perlu bercuti atas faktor kesihatan.
Akibatnya, pekerja yang sah berdepan kesukaran mendapatkan kepercayaan dan kelulusan sewajarnya, sekali gus menjejaskan suasana kerja sihat.
Nilai integriti merosot
Selain itu, budaya mendapatkan MC palsu turut mencerminkan kemerosotan nilai integriti sebagai jalan mudah bercuti tanpa perlu menggunakan cuti tahunan.
Apabila pekerja tidak hadir tanpa alasan sah, operasi sesebuah organisasi boleh terganggu terutama dalam sektor memerlukan tenaga kerja secara berterusan seperti kesihatan, perkilangan dan perkhidmatan.
Kesan pemalsuan MC juga boleh menjejaskan reputasi institusi kesihatan bertanggungjawab yang mengeluarkan dokumen tersebut.
Keadaan tersebut bukan sahaja memberi tekanan kepada petugas kesihatan, malah menimbulkan persepsi negatif terhadap proses pengeluaran sijil cuti sakit yang sebenarnya dikawal oleh prosedur profesional ketat.
Dari sudut perundangan, pemalsuan dokumen rasmi adalah kesalahan serius.
Langkah penguatkuasaan tegas perlu diteruskan bagi memberi mesej jelas kegiatan seperti ini tiada kompromi.
Penggunaan teknologi digital seperti rekod perubatan elektronik dan sistem pengesahan sijil cuti sakit secara dalam talian boleh membantu mengurangkan risiko pemalsuan.
Kesimpulannya, penahanan beberapa individu dalam kes ini perlu dijadikan pengajaran apabila cubaan memalsukan atau menjual dokumen rasmi bukan sahaja melanggar undang-undang, malah merosakkan kepercayaan institusi perubatan.
Justeru, tindakan tegas, pemantauan berkesan dan kesedaran masyarakat perlu bergerak seiring bagi memastikan isu seperti ini dapat dibendung daripada terus berulang.
* Norafidah Assan ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
