Suri rumah menjerit ketakutan, sekumpulan gajah muncul belakang rumah

Operasi pemindahan gajah dilaksanakan Jabatan Perhilitan di Kampung Bongor pada Rabu.
Operasi pemindahan gajah dilaksanakan Jabatan Perhilitan di Kampung Bongor pada Rabu.
A
A
A

GERIK - Berdepan dengan sekumpulan gajah liar di belakang rumah menjadi detik mendebarkan buat seorang suri rumah dalam kejadian minggu lalu di Kampung Bongor di sini.

Siti Rasidah Abd Lateh, 43, yang menceritakan detik-detik mencemaskan itu berkata, ketika kejadian beberapa ekor gajah liar berkenaan berada berhampiran rumah.

Menurutnya, pada malam sebelum itu keluarganya dikejutkan dengan kehadiran kumpulan gajah yang merosakkan tanaman di kebun berhampiran.

"Saya nampak sekumpulan gajah bergerak dari belakang rumah. Masa itu saya teruja hendak ambil gambar tetapi apabila nampak mereka bergerak menghampiri kawasan rumah saya terus menjerit ketakutan sampai suara pun hampir hilang.

"Dengan ketarnya badan saya menggigil. Selama ini hanya tengok di televisyen, tak pernah tengok depan mata macam ini. Kami risau keselamatan keluarga kerana gajah datang dalam satu kumpulan yang besar dan bimbang merosakkan rumah," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Operasi Pemindahan Gajah Liar di Kampung Bongor di sini pada Rabu.

Operasi pemindahan gajah dilaksanakan Jabatan Perhilitan di Kampung Bongor pada Rabu.
Operasi pemindahan gajah dilaksanakan Jabatan Perhilitan di Kampung Bongor pada Rabu.

Dia berkata, kejadian tersebut merupakan pengalaman pertama melihat sekawan besar gajah dari jarak dekat.

Menurutnya, sebelum itu mereka mendengar bunyi jeritan dari kawasan berhampiran hutan yang berlarutan sehingga lewat malam sebelum menyedari kehadiran haiwan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Selain ancaman gajah, penduduk kampung juga berdepan gangguan harimau belang yang dilaporkan membaham ternakan penduduk di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun penduduk kembali menarik nafas lega apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melaksanakan operasi pemindahan gajah di kampung berkenaan.

Pengarah Perhilitan Perak, Mohd Taufik Abdul Rahman berkata, operasi kali ini melibatkan tangkapan 12 ekor gajah liar di Kampung Bongor dan dua ekor lagi di Tanjung Rimbun, Kampung Bandariang di sini.

Katanya, kumpulan gajah berusia antara satu tahun setengah hingga 35 tahun itu akan dipindahkan ke habitat asal yang jauh daripada penempatan manusia.

"Di Kampung Bongor memang terdapat aduan berkaitan gajah sepanjang tahun, namun pada awal bulan ini kumpulan gajah liar dikesan menghampiri sehingga 50 meter dari kawasan penempatan penduduk.

"Keadaan itu menyebabkan ketakutan dalam kalangan penduduk selain mengakibatkan kemusnahan tanaman," katanya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, konflik antara manusia dan gajah bukan perkara baharu di Hulu Perak memandangkan kebanyakan kampung terletak berhampiran kawasan hutan simpan yang menjadi habitat semula jadi haiwan berkenaan.

Salbiah (duduk dari tengah) bersama kakitangan Jabatan Perhilitan yang terlibat dalam operasi berkenaan di Kampung Bongor pada Rabu.
Salbiah (duduk dari tengah) bersama kakitangan Jabatan Perhilitan yang terlibat dalam operasi berkenaan di Kampung Bongor pada Rabu.

Menurutnya, cadangan mewujudkan santuari gajah di Gerik yang sedang diberi perhatian oleh kerajaan juga sangat penting bagi memudahkan operasi pengurusan dan pemindahan gajah pada masa hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!