Suri rumah maut ditikam suami selepas minta duit seragam anak

KUPANG — Seorang suri rumah meninggal dunia selepas ditikam suaminya kerana didakwa meminta wang untuk membeli baju seragam sekolah anak.
Ketua Polis Sabu Raijua, AKBP Paulus Naatonis berkata, kejadian tersebut berlaku di Nusa Tenggara Timur (NTT) di rumah pasangan itu pada awal pagi Rabu.
Paulus menjelaskan, sebelum tidur, mangsa meminta suaminya membeli pakaian seragam sekolah untuk anak mereka, namun suspek kemudiannya bertanya mengenai wang bantuan Program Keluarga Harapan (PKH) yang diterima mangsa pada Mei lalu.
Perkara itu mencetuskan pertengkaran antara mereka.
Ketika pertengkaran berlaku, suspek didakwa mengambil sebilah pisau lalu menikam mangsa di bahagian bawah ketiak.
Mangsa yang mengalami kecederaan akibat tikaman menjerit kesakitan sehingga didengari oleh anak mereka.
Kanak-kanak itu kemudian berlari ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan.
Beberapa penduduk yang mendengar jeritan mangsa segera datang membantu.
Bagaimanapun menurut polis, usaha mereka terhalang kerana suspek masih memegang pisau ketika itu.
Mangsa akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dan kehilangan banyak darah.
Selepas kejadian tersebut, suspek terus pergi ke balai polis berhampiran untuk menyerah diri.
Polis kemudian menahan suspek dan merampas barang bukti bagi tujuan siasatan serta tindakan undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

