KPDNHEP periksa kantin 'cekik darah'

Azman memeriksa harga dipamerkan oleh pengusaha kantin sekolah.
Azman memeriksa harga dipamerkan oleh pengusaha kantin sekolah.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengusaha kantin sekolah yang gagal pamer tanda harga dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam pemeriksaan dijalankan, pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, pengusaha tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit 1993 dan kompaun berdasar nilaian rampasan.

Menurutnya, pihaknya menolak alasan diberikan pengusaha kantin yang pemasangan belum dilakukan kerana sedang menunggu tempahan tanda harga siap.

"Pengusaha perlu guna pendekatan lain seperti kaedah manual menampal harga memudahkan pelajar semak harga sebelum buat bayaran.

"Kesedaran pengguna bijak mahu diterapkan sejak dibangku sekolah, biar mereka bandingkan harga dan membeli ikut kemampuan kerana pelajar terdiri pelbagai kategori latar belakang keluarga," katanya yang turun menjalankan pemeriksaan di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27 (1) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sekyen 27, di sini.

Katanya, pemeriksaan terhadap 75 pengusaha kantin sekolah sejak tiga hari lalu dilakukan susulan rungutan ibu bapa kenaikan harga jualan dalam kawasan sekolah.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat beberapa perkara perlu dipanjangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor untuk ditambah baik oleh pengusaha kantin dengan memastikan kesemua makanan diletakkan harga.

"Kami kesan banyak pemasangan tanda harga mengelirukan seperti harga yang dipamer bukan untuk makanan yang dijual, harga jualan kepada guru diletakkan bersama makanan dijual kepada pelajar, tanda harga air mineral tapi yang dijual adalah air minuman dan caj pembungkusan agak tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak menemui harga tidak munasabah setakat pemeriksaan dijalankan setakat hari ini.

"Penetapan harga adalah ditetapkan hasil persetujuan bersama antara pihak sekolah dan pengusaha kantin namun mereka tidak terkecuali dari mematuhi peraturan seperti peniaga di luar.

"KPDNHEP berharap harga munasabah dan berpatutan diberikan ke atas pelajar mengikut kesesuaian lokaliti sesebuah sekolah itu," katanya.

Sementara itu, Penyelia Kanan Kesihatan JPN Selangor, Zulkifli Ahmad berkata, pentadbir sekolah boleh membuat aduan kepada jabatan sekiranya terdapat kesalahan dilakukan pengusaha kantin untuk pihaknya menjalankan pemeriksaan.

"Sebut harga ditentukan oleh pihak sekolah melalui pemilihan tender dengan syarat senarai makanan dan harga ditawarkan pengusaha mestilah dipamerkan, harga itu akan diguna pakai selama dua tahun.

"Jika ada permintaan dari pengusaha untuk menaikkan harga maka mereka perlu buat permohonan rasmi kepada pentadbir sekolah untuk diputuskan dan diminitkan harga baharu dalam lampiran perjanjian tambahan bagi kawal kenaikan harga daripada berleluasa," katanya.

Selangor mempunyai 939 sekolah melibatkan 611 sekolah rendah dan 278 sekolah menengah.

#shahalam #seksyen27 Seorang pengusaha kantin sekolah yang gagal pamer tanda harga dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam pemeriksaan dijalankan, pagi tadi. [ARTIKEL PENUH: https://www.sinarharian.com.my/article/7841/EDISI/Selangor-KL/KPDNHEP-periksa-kantin-cekik-darah Laporan: MOJO Sinar Harian Selangor NORAFIZA JAAFAR

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Tuesday, January 15, 2019