Kumpulan serigala serang perkhemahan penduduk Isarel di Pantai Duga

Seramai 11 orang cedera termasuk tiga kanak-kanak cedera diserang sekumpulan serigala di Pantai Duga. Foto: RoyaNews.
Seramai 11 orang cedera termasuk tiga kanak-kanak cedera diserang sekumpulan serigala di Pantai Duga. Foto: RoyaNews.
A
A
A

TELUK GALILEE – Sekumpulan serigala menyerang sekumpulan individu yang sedang berkhemah di Pantai Duga di pesisir timur laut Laut Galilee, utara Israel mengakibatkan 11 orang cedera termasuk tiga kanak-kanak.

Kejadian dilaporkan berlaku pada awal pagi Sabtu ketika mangsa sedang tidur di dalam khemah sebelum diserang haiwan berkenaan, menurut perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA) dan Pusat Perubatan Poriya.

Daripada jumlah mangsa, tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang mengalami kecederaan gigitan serius di muka telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Dua lagi menerima rawatan di lokasi kejadian, manakala beberapa kes tambahan dilaporkan kemudian.

Semua mangsa diberikan suntikan vaksin rabies sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kebimbangan kemungkinan haiwan tersebut dijangkiti virus berkenaan.

Seorang mangsa kanak-kanak, Alice, dilaporkan menyangka haiwan itu adalah anjing peliharaannya sebelum diserang ketika berada di dalam khemah.

Pihak berkuasa kesihatan Israel dan Agensi Alam Semula Jadi dan Taman Negara (RTG) kini menjalankan pemantauan, sambil memberi amaran kepada orang ramai agar mengelakkan kawasan berkenaan dan segera mendapatkan rawatan sekiranya digigit atau dicakar haiwan liar.

Kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan, namun satu kes masih berada di bawah pemerhatian doktor. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!