Serangan berterusan Israel di selatan Lubnan ragut sekurang-kurangnya tiga nyawa

Asap tebal kelihatan menjulang selepas serangan udara Israel ke atas bandar Tyre di selatan Lubnan pada 9 Jun 2026. Foto AFP
Asap tebal kelihatan menjulang selepas serangan udara Israel ke atas bandar Tyre di selatan Lubnan pada 9 Jun 2026. Foto AFP
A
A
A

BEIRUT -  Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban pada Rabu dalam serangan Israel di selatan Lubnan di tengah-tengah pelanggaran gencatan senjata yang berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media kerajaan Lubnan.

Dua orang maut manakala beberapa yang lain cedera dalam serangan udara Israel di bandar Seddiqin di daerah Tyre, menurut Agensi Berita Nasional (NNA) milik kerajaan.

Pasukan Pertahanan Awam Lubnan turut menemukan mayat seorang lagi mangsa di bandar Tayr Debba, menurut laporan media itu.

Sebuah dron Israel menyerang sebuah kereta di pintu masuk barat bandar Deir El Zahrani pada waktu pagi, namun tiada maklumat mengenai mangsa terkorban atau cedera setakat ini.

NNA melaporkan pesawat perang Israel turut melancarkan serangan udara di bandar Ansariyeh dan Bnaafoul di daerah Zahrani, Deir Qanoun al-Nahr, Tayr Debba serta Kfardounine di daerah Tyre. Serangan turut dilaporkan berlaku di Nabatieh al-Fawqa dan Kfar Rumman di Nabatieh.

Aktiviti dron turut dilaporkan di ruang udara Beirut dan pinggir bandar selatannya.

Sejak 2 Mac, Israel melancarkan serangan ke atas Lubnan yang mengorbankan 3,666 orang dan mencederakan 11,321 yang lain setakat Selasa, menurut angka rasmi Lubnan.

Serangan Israel itu berlaku di sebalik perjanjian gencatan senjata yang bermula pada 17 April. - Bernama-Anadolu

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!