Nombor telefon pengadu tersebar, DBKL semak dakwaan tular

Seorang pengadu berkongsi pengalaman dialaminya selepas membuat aduan aktiviti pembinaan di Kuala Lumpur.
Seorang pengadu berkongsi pengalaman dialaminya selepas membuat aduan aktiviti pembinaan di Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membuat semakan terhadap dakwaan yang tular di media sosial berhubung pengalaman seorang pengadu berkaitan pengendalian aduan aktiviti pembinaan di Kuala Lumpur.

DBKL dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap hantaran berkenaan serta memahami kebimbangan orang ramai, khususnya membabitkan isu kerahsiaan maklumat pengadu dan tahap keyakinan terhadap saluran aduan awam.

Menurut DBKL, semakan sedang dilakukan bagi mendapatkan gambaran lengkap termasuk proses pengendalian aduan, tindakan susulan yang telah diambil serta pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan.

"Pada masa yang sama, DBKL turut meneliti semula aduan asal yang dibangkitkan bagi memastikan isu dilaporkan diberikan perhatian sewajarnya dan tindakan diambil adalah selaras dengan keadaan sebenar di lapangan.

"DBKL ingin menegaskan bahawa setiap aduan diterima melalui saluran rasmi adalah penting dan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti hidup warga kota," menurut kenyataan itu pada Ahad.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial mendakwa nombor telefon peribadinya telah disalurkan kepada wakil sebuah projek pembinaan selepas beliau membuat aduan berkaitan pencemaran habuk melalui portal AduDBKL.

Pengguna sama turut mendakwa berdepan kesukaran mendapatkan tindakan susulan terhadap aduan berkaitan bunyi bising dan kerja lebih masa di tapak pembinaan, yang didakwa berulang kali dirujuk antara portal Adu@DBKL dan talian WhatsApp DBKL.

Dalam pada itu, DBKL menegaskan kepercayaan orang ramai terhadap sistem aduan awam perlu sentiasa dipelihara.

Menurutnya, langkah bersesuaian akan diambil bagi memperkukuh proses sedia ada sekiranya semakan mendapati terdapat ruang penambahbaikan dalam aspek prosedur, penyelarasan atau pelaksanaan.

Artikel Berkaitan:

“DBKL juga mengalu-alukan kerjasama pengadu untuk menyalurkan maklumat lanjut yang dapat membantu semakan dijalankan dengan lebih menyeluruh,” katanya.

Tambah DBKL, orang ramai tidak perlu berasa bimbang untuk menggunakan saluran aduan rasmi DBKL kerana setiap aduan yang diterima akan diteliti dan diuruskan mengikut proses ditetapkan.

“DBKL kekal komited untuk memastikan sistem aduan awam terus diyakini, berfungsi dengan baik dan memberi manfaat kepada warga Kuala Lumpur,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!