1,000 PPE siap minggu depan

Sejumlah 16 set PPE berupa isolation gown disumbangkan Briged Menjahit Covid-19 UIAM dengan kain tajaan Tabung CovidSinar untuk keperluan petugas Klinik Kesihatan Batu 8, Gombak, Selangor semalam.
Sejumlah 16 set PPE berupa isolation gown disumbangkan Briged Menjahit Covid-19 UIAM dengan kain tajaan Tabung CovidSinar untuk keperluan petugas Klinik Kesihatan Batu 8, Gombak, Selangor semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian (CovidSinar) menyasarkan sejumlah 1,000 pasang sut peralatan perlindungan diri (PPE) dihasilkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan tajaan Sinar Harian dapat disiapkan minggu hadapan.

Sukarelawan Tabung CovidSinar, Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata, penyediaan set PPE berupa jumpsuit dan gownsuit yang dijahit sendiri Briged Penjahit Covid-19 UIAM bertujuan memberi perlindungan diri kepada petugas barisan hadapan yang menangani kes koronavirus (Covid-19).

Susulan kesukaran mendapatkan bekalan set PPE, Dr Muhammad Irwan menegaskan inisiatif menjahit sendiri sut PPE diilhamkan oleh Persatuan Kakitangan Akademik UIAM dengan material kain ditaja Tabung CovidSinar bernilai anggaran RM6,600.

“Sejumlah 10 gulung kain sepanjang 3,000 meter diperuntukkan bagi menghasilkan 1,000 PPE oleh Briged Penjahit Covid-19 UIAM yang terdiri seramai 40 mahasiswa serta tiga tenaga pengajar menjahit.

“Inisiatif menghasilkan PPE buatan sendiri adalah susulan kesukaran pihak kami mendapatkan bekalannya di pasaran tempatan.

“Produk dihasilkan ialah sut perlindungan penuh, isolation gown, penutup kepala serta pelindung kasut dan ia akan diagihkan untuk kegunaan Hospital UIAM di Kuantan, Pahang dan beberapa hospital serta klinik kesihatan lain dikenal pasti,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Dr Muhammad Irwan (dua dari kanan) bersama rakan-rakan penyelaras dan tiga tenaga pengajar Briged Menjahit Covid-19 UIAM yang mengajar menjahit PPE secara sukarela.
Dr Muhammad Irwan (dua dari kanan) bersama rakan-rakan penyelaras dan tiga tenaga pengajar Briged Menjahit Covid-19 UIAM yang mengajar menjahit PPE secara sukarela.

Dr Muhammad Irwan berkata, selain menaja UIAM menjahit sendiri set PPE, Tabung CovidSinar turut bersetuju menaja sejumlah 10 gulung kain kepada beberapa hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin yang berminat menjahit sendiri set PPE untuk kegunaan mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, daripada jumlah itu, sejumlah tiga gulung kain diagihkan kepada Hospital Sungai Buloh, Pejabat Kesihatan Titiwangsa (dua gulung) dan Pusat Rehabilitasi Cheras yang kini dijadikan Pusat Kuarantin Covid-19 (lima gulung).

“Pengagihan 10 gulung kain yang mengikut spesifikasi Kementerian Kesihatan (KKM) itu adalah atas permintaan hospital dan pusat kesihatan berkenaan susulan mereka mempunyai unit petugas barisan hadapan yang mampu menjahit sendiri set PPE.

“Nilai keseluruhan sumbangan untuk kain gulung adalah RM6,600, namun kami merayu kepada rakyat Malaysia untuk terus menyumbang melalui Tabung CovidSinar bagi membolehkan lebih banyak kain gulung dapat diagihkan kepada petugas memerlukan,” katanya.

Selain menaja penghasilan sendiri set PPE, Dr Muhammad Irwan menegaskan, sejumlah 700 set PPE lengkap diperoleh daripada pembekal turut diagihkan kepada Pejabat Kesihatan Kepong; Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju; Pejabat Kesihatan Titiwangsa; Pejabat Kesihatan Lembah Pantai dan Pejabat Kesihatan Bandar Tun Razak.

Menurutnya, Tabung CovidSinar turut berkesempatan menyalurkan sumbangan komputer riba dan 10 meja tambahan kepada Pejabat Kesihatan Titiwangsa dan Pejabat Kesihatan Lembah Pantai untuk kegunaan menangani kes Covid-19.

“Kami turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan sumbangan kepada Tabung CovidSinar kerana dana itu juga akan digunakan untuk membeli bekalan topeng muka N95 yang amat diperlukan golongan petugas barisan hadapan, terutama di kawasan zon merah.

“Bekalan topeng muka N95 untuk keperluan hospital dan pejabat kesihatan masih tidak mencukupi dengan harganya juga kini lebih mahal daripada kebiasaan.

“Justeru, sumbangan orang ramai amat diperlukan demi menjamin keselamatan petugas barisan hadapan,” katanya.

Sehingga jam 9 malam tadi, Tabung CovidSinar berjaya mengumpul sebanyak RM572,980.53.

Seorang pensyarah yang turut menjadi sukarelawan Briged Menjahit Covid-19 UIAM menjahit set PPE untuk digunakan petugas barisan hadapan.
Seorang pensyarah yang turut menjadi sukarelawan Briged Menjahit Covid-19 UIAM menjahit set PPE untuk digunakan petugas barisan hadapan.

Sinar Harian mengaktifkan Tabung CovidSinar bagi membolehkan rakyat Malaysia tampil bersama-sama mengumpulkan dana untuk petugas kesihatan, sekali gus membantu meringankan beban kumpulan berkenaan dalam usaha memerangi Covid-19.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025.Sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian 019-668 0920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja).