Stor vape RM1.3 juta tumpas, pemilik premis ditahan

KUANTAN – Taktik menjadikan premis berbeza di dua lokasi berasingan di sini sebagai stor simpanan rokok elektronik atau vape terbongkar apabila diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuantan pada Rabu lalu.
Dalam serbuan Op Inter-Agensi bersama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada jam 10 pagi itu, seorang lelaki yang dipercayai pemilik premis ditahan bersama 8,828 kotak berisi vape, 347 kotak kartrij dan 38,622 kotak cecair vape pelbagai perisa yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Khairuddin Jamal berkata, dalam serbuan ke atas premis pertama, pihaknya berjaya menahan suspek berusia 37 tahun yang dipercayai pemilik premis.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui dan merampas 1,806 kotak berisi vape, 210 kotak berisi kartrij dan 15,812 kotak berisi cecair pelbagai perisa.
"Hasil soal siasat lanjut ke atas suspek membawa kepada serbuan kedua ke atas sebuah rumah, juga di daerah ini, yang dijadikan sebagai stor.
"Hasil serbuan di lokasi kedua, pasukan serbuan berjaya menemukan barang rampasan yang terdiri daripada 7,022 kotak berisi vape, 137 kotak berisi kartrij dan 22,810 kotak berisi cecair pelbagai perisa.
"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1.3 juta," katanya.
Khairuddin berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan aktiviti perjudian.
Menurutnya, semua barang kes yang dirampas diserahkan kepada pihak penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan suspek berkaitan barang kes yang dirampas," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, PPM Wilayah Tiga Kuantan akan terus mempergiatkan operasi dengan kerjasama agensi lain bagi membanteras aktiviti penjualan rokok elektronik di negeri ini.
"Langkah tegas itu diambil demi melindungi kesihatan awam, khususnya dalam menangani risiko penyalahgunaan bahan terlarang serta kesan buruk terhadap kesihatan masyarakat.
"Tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang dan membendung penjualan secara tidak sah," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

