IRGC lancar 12 peluru berpandu balistik ke pangkalan tentera AS di Jordan

Tangkap layar daripada rakaman yang dikeluarkan IRGC pada 11 Jun 2026 menunjukkan detik pelancaran peluru berpandu ke arah sasaran Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap serangan terdahulu Washington ke atas wilayah Iran. Foto PressTV.
Tangkap layar daripada rakaman yang dikeluarkan IRGC pada 11 Jun 2026 menunjukkan detik pelancaran peluru berpandu ke arah sasaran Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap serangan terdahulu Washington ke atas wilayah Iran. Foto PressTV.
A
A
A

TEHERAN – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa telah melancarkan 12 peluru berpandu balistik ke arah pangkalan udara Al-Azraq yang dikendalikan Amerika Syarikat (AS) di Jordan sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Washington ke atas Iran.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, IRGC memaklumkan bahawa pasukan aeroangkasanya menyasarkan pesawat pejuang F-35, F-15 dan F-16 milik AS serta beberapa kemudahan ketenteraan dan pusat kawalan di pangkalan berkenaan.

IRGC turut mendakwa serangan itu mengakibatkan kerosakan besar terhadap infrastruktur pangkalan dan beberapa aset ketenteraan AS.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai kemusnahan pesawat dan kemudahan tentera itu belum dapat disahkan secara bebas oleh pihak ketiga.

IRGC turut memberi amaran bahawa operasi ketenteraan akan diteruskan selagi apa yang disifatkannya sebagai 'pencerobohan musuh' berterusan.

Pada masa sama, Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran menegaskan angkatan bersenjata negara itu akan terus memberikan tindak balas terhadap sebarang tindakan ketenteraan AS.

Menurut markas berkenaan, keputusan Washington menghentikan serangan ke atas beberapa kawasan di selatan Iran adalah hasil daripada tindak balas ketenteraan Teheran yang dianggap berjaya mengekang tekanan pihak lawan.

Serangan tersebut berlaku ketika ketegangan antara Iran dan AS kembali memuncak susulan siri serangan balas membabitkan kedua-dua negara.

Selain Jordan, Iran turut mendakwa melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran ketenteraan AS di Bahrain dan Kuwait.

Artikel Berkaitan:

Media antarabangsa melaporkan Jordan mengaktifkan sistem pertahanan udaranya susulan serangan itu, manakala pihak tentera Jordan sebelum ini memaklumkan beberapa peluru berpandu yang dilancarkan ke arah wilayah negara tersebut berjaya dipintas.

Konflik yang semakin memuncak itu tercetus selepas Presiden AS, Donald Trump, mengarahkan satu lagi siri serangan terhadap sasaran di Iran, sekali gus mencetuskan tindakan balas daripada Teheran. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!