'Jika Presiden AS jemput saya tak datang, bayangkan apa kesannya?'- Prabowo pertahan lawatan kerap ke luar negara

Prabowo ketika berucap dalam program berkenaan. Foto: Setpres
Prabowo ketika berucap dalam program berkenaan. Foto: Setpres
A
A
A

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mempertahankan siri lawatan luar negaranya dengan menegaskan beliau tidak boleh menolak jemputan pemimpin kuasa besar dunia kerana ia sebahagian daripada dasar luar bebas dan aktif yang diamalkan republik itu.

Berucap pada Mesyuarat Nasional (Munas) XVIII Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (HIPMI) di Lampung pada Rabu, Prabowo berkata, beliau dipilih rakyat untuk menjaga kepentingan Indonesia dan perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.

“Jika Presiden Amerika Syarikat menjemput Presiden Indonesia dan saya tidak hadir, cuba bayangkan apa kesannya,” katanya merujuk kepada Donald Trump.

Menurut beliau, Indonesia sering menerima jemputan daripada pemimpin negara-negara besar termasuk Amerika Syarikat, Rusia dan China, sekali gus memerlukan kehadiran pemimpin negara itu sebagai tanda penghormatan diplomatik.

Prabowo berkata, jika dijemput Trump, beliau akan hadir, begitu juga jika menerima jemputan daripada Vladimir Putin atau Xi Jinping.

“Sudah Presiden Amerika jemput, Presiden Rusia juga jemput. Takkan saya hadir di Washington tetapi tidak hadir di Moscow. Kemudian Presiden Xi Jinping jemput, sudah tentu saya hadir,” katanya.

Beliau turut menyebut negara-negara lain seperti India dan Brazil yang mempunyai pasaran besar serta pengaruh ekonomi yang penting kepada Indonesia.

Menurut Prabowo, situasi itu adalah risiko yang perlu ditanggung oleh sebuah negara yang mempunyai ramai sahabat di peringkat antarabangsa.

Katanya, Indonesia merupakan negara terbesar di Asia Tenggara selain menganggotai pelbagai organisasi antarabangsa seperti ASEAN, APEC, Organisation of Islamic Cooperation, BRICS dan G20.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kita dijemput, sukar untuk kita tidak hadir,” katanya.

Prabowo menegaskan kehadirannya dalam pelbagai lawatan rasmi bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya bagi mempertahankan kepentingan rakyat Indonesia serta mengukuhkan hubungan baik dengan negara-negara sahabat.

“Politik Indonesia adalah politik jiran yang baik. Kita mahu menjadi jiran yang baik kepada semua negara di sekitar kita dan juga kepada negara-negara lain di dunia,” katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!