Prabowo dakwa ada teknologi boleh kesan bunker simpan harta rasuah

Prabowo. Foto Agensi
Prabowo. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mendakwa kerajaan kini memiliki teknologi canggih yang mampu mengesan bunker bawah tanah dipercayai digunakan untuk menyembunyikan harta hasil rasuah.

Beliau berkata, teknologi pertahanan moden termasuk radar dan satelit boleh digunakan untuk mengesan lokasi simpanan rahsia milik individu terlibat dalam kegiatan rasuah.

“Saya sedih jika masih ada pegawai yang cuba rasuah. Sekarang cepat terbongkar. Kita ada teknologi dan radar yang boleh melihat bawah tanah,” katanya ketika sidang pleno di Parlimen Indonesia pada Rabu.

Menurut Prabowo, teknologi yang lazim digunakan bagi mengesan gudang senjata tersembunyi dan periuk api kini boleh dimanfaatkan untuk mengesan bunker mencurigakan.

Beliau turut memberi amaran kepada individu yang cuba menyembunyikan kekayaan melalui pemilikan tanah atau ladang secara haram berskala besar.

“Saudara-saudara yang ada bunker tersembunyi, nanti kami jumpa juga harta kamu. Saya akan gunakan teknologi paling canggih,” katanya.

Prabowo mendakwa teknologi satelit masa kini membolehkan pihak berkuasa memantau kawasan tertentu secara terperinci tanpa perlu melakukan pemeriksaan fizikal di lokasi.

“Kita boleh ambil gambar setiap pokok satu demi satu. Jadi walau bagaimana sekalipun kamu cuba menipu, kami akan tetap dapat mengesannya,” katanya.

Dalam ucapannya, Prabowo turut membayangkan wujud individu dalam pasukan keselamatan yang melindungi kegiatan rasuah dan penyelewengan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, golongan terbabit sering mempunyai “orang belakang” dalam kalangan anggota berseragam termasuk tentera dan polis.

Beliau menggesa rakyat merakam dan melaporkan sebarang salah laku anggota penguat kuasa sekiranya berlaku penyelewengan.

“Jika ada anggota yang tidak betul, saya minta rakyat rakam video dan laporkan,” katanya.

Prabowo turut mengingatkan anggota tentera dan polis supaya tidak mencemarkan imej institusi keselamatan negara.

“Tentera dan polis milik rakyat dan mesti berjuang untuk rakyat,” katanya.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!