Prabowo bawa ayam goreng atas pentas

JAKARTA - Aksi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto membawa potongan ayam goreng menu Makan Bergizi Gratis (MBG) di atas pentas mengundang pelbagai reaksi selepas program utama pentadbiran beliau itu terus dihimpit kontroversi.
Di hadapan kira-kira 12,000 penggerak dan rakan pelaksana program MBG, Prabowo menunjukkan perbezaan saiz potongan ayam ketika mesyuarat penyelarasan program MBG di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sentul (SICC), Bogor, Jawa Barat pada Rabu lalu.
Dua bekas berisi ayam goreng dipamerkan pada acara itu yang dipotong kepada lapan dan 14 bahagian.
“Kalau yang dipotong 14 bahagian pun sebesar ini, bagaimana jika lebih kecil? Jangan-jangan dipotong 18 atau 22 bahagian?” katanya kepada 10 wakil yang dijemput naik ke atas pentas.
Beliau menegaskan bahawa seekor ayam tidak sepatutnya dipotong melebihi 14 bahagian kerana tindakan itu akan menjejaskan saiz hidangan MBG.
“Kalau potong lebih daripada 14 bahagian, itu dosa. Jutaan kanak-kanak seluruh negara akan kecewa,” katanya.
Prabowo kemudiannya meminta Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah, Abdul Mu'ti mengarahkan pihak sekolah melaporkan saiz hidangan ayam yang diterima di bawah inisiatif tersebut.
"Jika perlu, pihak sekolah boleh menimbang dan mengambil gambar hidangan ayam tersebut bagi memastikan standard penyediaan makanan dipatuhi," ujarnya lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

