Bekas PM Thailand, Thaksin bebas sepenuhnya selepas terima pengampunan diraja

BANGKOK - Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra kini bebas sepenuhnya selepas menerima pengampunan diraja kurang seminggu lalu, sekali gus menamatkan segala sekatan hukuman yang dikenakan terhadap beliau.
Jabatan Pemulihan Thailand pada Selasa mengesahkan ahli politik berusia 76 tahun itu tidak lagi tertakluk kepada sebarang hukuman jenayah, pemantauan atau syarat berkaitan selepas proses pembebasan rasmi disempurnakan.
Menurut jabatan berkenaan, Thaksin adalah antara individu yang layak menerima pengampunan diraja pada 3 Jun lalu sempena ulang tahun kelahiran Ratu Suthida kerana baki hukuman yang perlu dijalaninya kurang daripada setahun.
Beliau sebelum ini menjalani hukuman penjara selama lapan bulan daripada tempoh asal setahun selepas disabitkan atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Thaksin kemudian dibebaskan secara parol bulan lalu atas faktor usia dan kesihatan.
Susulan pengampunan itu, peranti pemantauan elektronik yang dikenakan sebagai syarat pembebasan parol turut ditanggalkan pada Selasa.
“Pihak penjara telah mengeluarkan dokumen pembebasan rasmi serta sijil pelepasan kepada Thaksin,” menurut kenyataan Jabatan Pemulihan Thailand.
Jabatan itu menjelaskan prosedur berkenaan adalah selaras dengan tindakan yang dikenakan terhadap banduan lain yang layak dibebaskan secara parol.
Thailand secara berkala memberikan pengampunan diraja kepada banduan yang berkelakuan baik sempena acara diraja utama, termasuk sambutan ulang tahun kelahiran raja dan ratu.
Thaksin merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam politik moden Thailand dan pernah berkhidmat selama dua penggal sebagai Perdana Menteri.
Penggal kedua pentadbirannya berakhir lebih awal selepas beliau digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera pada 2006.
Selepas itu, beliau menghabiskan lebih sedekad dalam buangan sendiri, dengan sebahagian besar masanya berada di Dubai sebelum kembali ke Thailand pada 2023.
Media tempatan melaporkan Thaksin dijangka berkunjung ke Dubai bulan ini, namun tujuan perjalanan berkenaan belum didedahkan.
Setakat ini, wakil guamannya belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.
Parti Pheu Thai yang diasaskannya serta beberapa entiti politik terdahulu muncul antara gerakan politik paling berjaya di Thailand pada abad ke-21.
Keluarga Shinawatra juga telah melahirkan empat Perdana Menteri dan sejak sekian lama menikmati sokongan kukuh daripada pengundi luar bandar.
Bagaimanapun, pengaruh politik Thaksin kini mula dipersoalkan selepas Pheu Thai mencatat keputusan pilihan raya terburuk pada Februari lalu apabila jatuh ke kedudukan ketiga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

