Menteri Thailand turun ke Malaysia, cari penyelesaian pertikaian import udang

Larangan berkenaan menjejaskan pendapatan penternak udang Thailand. Foto The Nation.
Larangan berkenaan menjejaskan pendapatan penternak udang Thailand. Foto The Nation.
A
A
A

BANGKOK – Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Suriya Juangroongruangkit dijadual mengadakan lawatan ke Malaysia pada 17 Jun ini bagi mencari penyelesaian kekal terhadap pertikaian perdagangan makanan laut yang melibatkan import siakap dari Malaysia dan larangan import lima spesies udang dari Thailand.

Suriya berkata, lawatan itu bertujuan mengadakan perbincangan di peringkat dasar susulan tindakan Malaysia menggantung import lima spesies udang Thailand yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.

Menurutnya, pertikaian tersebut berpunca daripada proses pemeriksaan dokumen oleh Jabatan Perikanan Thailand terhadap ikan siakap yang diimport dari Malaysia, yang didakwa mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.

Katanya, Malaysia melihat kelewatan itu sebagai halangan perdagangan, walaupun Thailand hanya mahu memastikan pemeriksaan dilakukan secara teliti dan mematuhi piawaian keselamatan makanan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Thailand telah memberi jaminan bahawa tempoh pemeriksaan boleh dipendekkan tanpa menjejaskan standard yang ditetapkan.

Suriya turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Malaysia telah mengutus surat kepada Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, bagi memohon kerjasama memudahkan kemasukan siakap Malaysia ke pasaran Thailand.

Pada masa sama, Malaysia juga dilaporkan telah mengarahkan Jabatan Perikanannya membantu melancarkan import udang dari Thailand.

Beliau berkata, surat rasmi telah dihantar kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian jangka panjang terhadap isu tersebut.

“Saya turut memaklumkan kesediaan untuk hadir ke Malaysia pada 17 Jun bagi mengadakan rundingan.

Artikel Berkaitan:

"Jika isu ini dapat diselesaikan, eksport udang Thailand ke Malaysia boleh disambung semula, manakala pengguna Malaysia berpeluang menikmati harga udang yang lebih rendah,” katanya.

Menurut beliau, pengguna Thailand juga berpotensi menikmati harga siakap yang lebih kompetitif, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua negara.

Dalam surat tersebut, Suriya turut meminta Malaysia menarik balik terlebih dahulu larangan import udang Thailand sebelum rundingan rasmi diadakan.

Pertikaian perdagangan itu bermula selepas Malaysia membantah tempoh pemeriksaan dokumen yang dikenakan Thailand terhadap import siakap Malaysia.

Sebagai tindak balas, Kuala Lumpur memperkenalkan syarat baharu yang mewajibkan sijil analisis bagi penghantaran siakap Thailand serta menggantung import lima spesies udang Thailand bermula 1 Jun.

Lima spesies yang terlibat ialah udang harimau coklat, udang pisang, udang putih, udang harimau dan udang biru.

Penggantungan tersebut dijangka kekal sehingga pihak berkuasa Thailand mengemukakan maklum balas lengkap terhadap soal selidik berkaitan piawaian keselamatan makanan untuk penilaian semula.

Langkah itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengeksport dan penternak udang Thailand kerana dikhuatiri menyebabkan kerugian pendapatan serta lebihan bekalan dalam pasaran domestik.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!