PM beri bayangan PKP mungkin hingga lepas raya

Anggota polis dan tentera menyaksikan Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui komputer riba di Jalan Tambun hari ini. Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 14 April bagaimanapun dilanjutkan bagi tempoh dua minggu lagi iaitu 15 hingga 28 April ini bagi membendung penularan jangkitan Covid-19. - Foto Bernama
Anggota polis dan tentera menyaksikan Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui komputer riba di Jalan Tambun hari ini. Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 14 April bagaimanapun dilanjutkan bagi tempoh dua minggu lagi iaitu 15 hingga 28 April ini bagi membendung penularan jangkitan Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan rakyat di negara ini perlu bersedia sekiranya tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti kebiasaan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilaksanakan untuk tempoh yang lebih lama bagi mengelakkan penularan semula wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, ia mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan sebelum dapat betul-betul memastikan penularan wabak ini diatasi 100 peratus.

Beliau berkata, tempoh yang lama ini juga selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya negara-negara dunia tidak menamatkan PKP terlalu awal.

"Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk bertarawih. Jadi bertarawihlah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa.

"Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama," katanya ketika menyampaikan Perutusan Khas Covid-19 yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: PKP dilanjutkan hingga 28 April ini

Beberapa sektor dibenar beroperasi secara berperingkat: PM

Rakyat perlu biasakan diri dengan kehidupan 'the new normal'

Artikel Berkaitan:

Umat Islam di Malaysia dijangka menunaikan ibadah puasa pada 24 April ini dan Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut pada 24 Mei depan.

Muhyiddin berkata, walaupun sukar untuk membayangkan perkara itu tetapi inilah kenyataan yang rakyat Malaysia perlu hadapi hari ini bagi membendung wabak Covid-19.

"Sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa saudara-saudari. Setiap nyawa adalah berharga. Baik bayi, orang muda, orang dewasa atau warga emas, semuanya bernilai.

"Kehilangan satu nyawa kerana virus ini bukan bererti kehilangan kepada suami, isteri, anak-anak atau keluarga terdekat sahaja tetapi juga satu kehilangan besar buat negara. Kerana itu, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan diri kita, keluarga kita dan orang-orang di sekeliling kita dengan mematuhi perintah kawalan pergerakan," katanya.

Dalam masa sama, Muhyiddin berkata, kadar kematian akibat wabak Covid-19 di negara ini juga rendah iaitu sebanyak 1.6 peratus berbanding 5.8 peratus kadar kematian di peringkat dunia.

Katanya, setakat ini seramai 1,830 pesakit telah keluar dari hospital.

"Ini bermakna 43 peratus pesakit Covid-19 telah pulih. Hari ini sahaja jumlah pesakit yang pulih ialah seramai 220 orang melebihi jumlah kes positif baharu iaitu sebanyak 118 kes.

"Jumlah kes positif baharu juga telah menunjukkan penurunan sejak beberapa hari yang lalu. Jika trend penurunan ini berterusan untuk tempoh dua minggu akan datang, insya-ALLAH kita akan dapat mengawal wabak Covid-19 ini daripada menular," katanya.

Sementara itu, rakyat perlu membiasakan diri menjalani kehidupan 'the new normal' atau kebiasaan baharu pada masa hadapan pasca pandemik Covid-19.

Muhyiddin Yassin berkata, secara ringkasnya kehidupan rakyat negara ini untuk bulan-bulan atau tahun mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa.

Menurutnya, segala perkara yang menjadi kebiasaan suatu ketika dahulu, sudah tidak boleh dilakukan lagi seperti amalan berjabat tangan.

"Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi. Contoh mudahnya, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat.

"Kalau tak dibuat ianya dianggap janggal, atau tak beradab. Tetapi sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan bila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus. Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat.

"Ini adalah 'the new normal', atau kebiasaan baharu," katanya sewaktu menyampaikan perutusan khas kerajaan melalui saluran media rasmi hari ini.

Muhyiddin turut menegaskan amalan kebiasaan itu juga diamalkan masyarakat dunia lain memandangkan seluruh dunia terkesan dengan Covid-19 termasuk negara-negara jiran.

Pada masa sama, Muhyiddin telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Imigresen, RELA dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara.

Menurutnya, arahan itu dikuatkuasakan susulan pihaknya mendapati banyak lorong-lorong tikus dikesan di sepanjang sempadan negara.

"Saya nak beritahu, di sepanjang sempadan negara kita ini banyak terdapat lorong-lorong tikus. Pendatang asing tanpa izin (PATI) biasanya bolos menerusi lorong-lorong ini.

"Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk ke negara kita. Na’uzubillah," katanya.