X

Kindly register in order to view this article
!

Polis lumpuh sindiket dadah terbesar sepanjang PKP

Ramli (tiga dari kanan) menunjukkan dadah dirampas bernilai RM3. 5 juta dirampas pada sidang media di IPD Kuala Selangor di sini hari ini.
A
A

KUALA SELANGOR - Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah didalangi enam sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak di Jalan Bagan Pasir Tanjong Karang di sini semalam.

Serbuan kira-kira jam 5 petang itu diketuai Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa bersama pasukannya itu berjaya merampas dua jenis dadah jenis syabu dan eramin 5 bernilai RM3.5 juta yang merupakan rampasan terbesar sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, hasil serbuan itu, polis merampas empat guni plastik yang di dalamnya mengandungi 15 plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu seberat 61.0 kg.

"Turut dirampas empat bungkusan dibalut pita pelekat kuning dengan setiap satu daripadanya mempunyai 74 ikatan gulung getah mengandungi dadah jenis eramin 5 seberat 11.65 kg," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini hari ini.

Ramli berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung bekalan dadah itu diperoleh dan aktiviti pengedaran membabitkan suspek dewasa berusia dari 36 hingga 64 tahun.

Bagaimanapun, katanya, polis sedang berusaha mengesan seorang lagi individu dikenali Azam Mohamad Tasik berusia 30 tahun bagi membantu siasatan.

"Kita meminta individu terbabit tampil ke hadapan segera ke IPD Kuala Selangor.

"Semua suspek yang ditahan tidak memiliki rekod jenayah lampau sebelum ini dan kami sedang menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Katanya, dua daripada tiga suspek dewasa berusia 36 dan 48 tahun direman selama empat hari sehingga 14 April ini bagi membantu siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus