Jenayah syariah: Mengapa sampai perlu sebat?

Dua rotan yang digunakan oleh tukang sebat penjara bagi pelaksanaan hukuman sebatan ke atas pesalah syariah di Mahkamah Penjara Marang pada Ahad.
Dua rotan yang digunakan oleh tukang sebat penjara bagi pelaksanaan hukuman sebatan ke atas pesalah syariah di Mahkamah Penjara Marang pada Ahad.
A
A
A

SETIAP kali hukuman sebat syariah dilaksanakan, pasti akan timbul perdebatan. Ada yang melihatnya sebagai hukuman yang wajar demi mempertahankan nilai agama dan moral masyarakat, manakala sebahagian lain mempersoalkan kesetimpalan serta kesan pelaksanaannya terhadap pesalah.

Terbaharu, lima individu terdiri daripada tiga wanita dan dua lelaki menjalani hukuman keseluruhan 20 sebatan di Penjara Marang selepas masing-masing mengaku bersalah atas kesalahan jenayah syariah yang dihadapi sebelum ini.

Hukuman paling tinggi dikenakan terhadap seorang wanita berusia 20 tahun yang menerima enam sebatan. Tertuduh yang merupakan seorang janda sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman bagi kesalahan melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

​Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama seorang lelaki berusia 25 tahun selepas kedua-duanya dicekup dalam satu serbuan pihak berkuasa di sebuah bilik hotel di Jalan Pejabat, di Kuala Terengganu pada 17 Mei lalu.

Seperti dijangka, pelbagai reaksi muncul. Ada yang menyifatkannya sebagai langkah perlu untuk memelihara maruah, institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan aspek kesetimpalan hukuman, maruah pesalah, pemulihan serta matlamat sebenar sistem keadilan.

Mungkin juga ramai yang bersimpati apabila mendengar seseorang dihukum sebat, lebih-lebih lagi apabila kesalahan yang dilakukan dikategorikan sebagai jenayah syariah.

Bagaimanapun, berapa ramai yang berhenti sejenak untuk memikirkan mengapa hukuman itu dijatuhkan?

Artikel Berkaitan:

Kita mudah melihat kesakitan yang dialami pesalah ketika menerima sebatan, tetapi sering terlupa kesan kesalahan yang dilakukan terhadap maruah diri, keluarga dan nilai agama yang menjadi tunjang kehidupan masyarakat.

Malah, ada yang terus melabel hukuman sebat sebagai tidak berperikemanusiaan tanpa terlebih dahulu memahami tujuan sebenar ia diperuntukkan dalam undang-undang syariah.

Mungkin ada yang bertanya, mengapa perlu sampai disebat?

Mengapa tidak cukup dengan nasihat, kaunseling atau denda sedangkan ia hanya melibatkan jenayah syariah dan bukannya jenayah berat seperti membunuh atau merompak?

Jawapannya juga cukup jelas.

Ada perbuatan yang tidak menumpahkan darah, tetapi boleh merosakkan maruah dan memecahkan institusi keluarga.

Ada perbuatan yang tidak mencederakan tubuh, tetapi mencederakan nilai dan akhlak sesebuah masyarakat.

Sebab itulah kesalahan seperti khalwat, zina dan perbuatan yang bertentangan dengan syariat tidak dianggap remeh walaupun ada yang melihatnya sebagai urusan peribadi atau dilakukan atas kerelaan kedua-dua pihak.

Sebab itu, sebat seharusnya dilihat sebagai peringatan

Jika satu hukuman mampu menginsafkan seorang pesalah dan menghalang ratusan lagi daripada mengulangi kesalahan yang sama, maka di situlah terletaknya hikmah yang mungkin tidak dilihat oleh semua orang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!