Hukuman sebat dua pasangan: Pas Terengganu jawab kritikan SIS Forum

KUALA TERENGGANU - Pelaksanaan syariat Islam di Terengganu bukan bertujuan menzalimi manusia sebaliknya bertindak sebagai benteng utama dalam memelihara maruah, institusi keluarga serta kesejahteraan masyarakat.
Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu, Toh Puan Zarani Othman berkata, hukuman dalam Islam bukanlah matlamat utama namun merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan dan pencegahan bagi mengingatkan masyarakat mengenai batasan demi kebaikan bersama.
"Lebih besar daripada hukuman ialah usaha dakwah, pendidikan, tarbiah dan pembinaan akhlak yang sentiasa menjadi keutamaan Islam.
"Dalam konteks masyarakat hari ini, matlamat tersebut amat penting bagi melindungi institusi keluarga, menjaga maruah wanita, memelihara nasab keturunan dan membentuk masyarakat yang lebih sejahtera," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), SIS Forum (Malaysia) berhubung pelaksanaan hukuman syariah membabitkan dua pasangan muda di negeri itu.
Sebelum ini, kumpulan hak asasi berkenaan menyuarakan kebimbangan mengenai hukuman sebat yang dijadualkan bakal dilaksanakan terhadap dua pasangan terbabit di Penjara Marang pada 7 Jun ini.
SIS Forum mendakwa hukuman itu dikenakan selepas mereka gagal membayar denda dan tidak diwakili oleh peguam di mahkamah, selain membangkitkan isu berkaitan aspek kesetimbalan (proporsionaliti), maruah, pemulihan serta matlamat hukuman dalam sistem keadilan.
Mengulas lanjut, Zarani menyatakan pihaknya menghormati hak setiap pihak untuk menyatakan pandangan, namun perbahasan mengenai syariat Islam sewajarnya dilihat secara menyeluruh dan adil, bukan hanya menerusi sudut pandang hukuman semata-mata.
Tambah beliau, realiti hari ini menunjukkan bahawa gejala sosial, keruntuhan institusi keluarga, eksploitasi seksual dan masalah moral yang semakin meningkat memberikan kesan paling besar terhadap golongan wanita serta kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menghormati proses perundangan yang berjalan mengikut lunas undang-undang negara, selain membincangkan isu syariah dengan penuh ilmu, adab dan rasa tanggungjawab.
"Kami yakin bahawa syariat Islam yang dilaksanakan dengan adil, berhemah dan penuh hikmah merupakan sebahagian daripada penyelesaian dalam membina masyarakat lebih bermaruah, berintegriti dan sejahtera," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

