'Ini bukan Selayang, ini Marang', penduduk bantah lambakan Rohingya

KUALA TERENGGANU - Sepanduk kain putih yang digantung di sebuah jejantas memaparkan mesej berbunyi, 'Ini bukan Selayang, ini Marang' tular di media sosial pada Ahad, dipercayai sebagai isyarat bantahan penduduk tempatan terhadap lambakan pelarian Rohingya di kawasan sekitar.
Sepanduk tersebut turut memaparkan tulisan "Bangkit Orang Marang" berserta tanda pagar #SayNoToRohingya sebagai tanda solidariti menolak kehadiran komuniti berkenaan.
Isu terbabit mendapat perhatian meluas selepas perkongsian daripada sebuah akaun komuniti memuji tindakan tersebut dengan menyertakan kapsyen, "Terbaik rakyat Marang. Harap MB (Menteri Besar) dan YB (Wakil Rakyat) boleh membaca. Rohingya terlalu ramai di Rusila. Kami dok (tidak) selesa!"
Tinjauan di ruangan komen mendapati hantaran berkenaan dihujani ratusan reaksi netizen yang rata-ratanya menyokong tindakan pemasangan sepanduk itu demi menjaga ketenteraman dan keselamatan penduduk setempat, khususnya di kawasan kubu kuat Pas di Rusila.
Segelintir penduduk mendakwa lambakan warga asing tersebut mula menimbulkan keresahan apabila ada di antara mereka yang didakwa mula membuat masalah, mengabaikan undang-undang, serta terlibat dalam kes kecurian kecil seperti mengambil besi buruk di luar rumah penduduk.
Malah, terdapat pengguna media sosial yang menggesa agar pemilik tanah atau rumah sewa tempatan mengambil tindakan tegas dengan tidak lagi menyewakan premis mereka kepada golongan pelarian terbabit.
"Rakyat bertindak dulu... tuan bagi sewa, tarik balik sewa dan suruh pindah lain. Jangan sampai merugi diri sendiri," kata seorang netizen di ruangan komen.
Selain itu, netizen turut mengaitkan isu ini dengan tanggungjawab politik, di mana mereka menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen kawasan terlibat supaya tidak mendiamkan diri dan segera membawa suara rakyat Marang kepada kerajaan persekutuan bagi mencari jalan penyelesaian tuntas.
Malah, sebuah poster politik turut tular di ruangan komen yang menyatakan bahawa undi rakyat akan diberikan kepada mana-mana parti sama ada BN, Pas, mahupun PKR yang komited untuk menghalau dan menghantar pulang pelarian tersebut ke negara asal mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

