Covid-19: Bursa Malaysia hadapi tekanan jualan pada tengah hari

No Image Caption
A
A
A

BURSA tempatan menghadapi tekanan jualan pada rehat tengah hari ini menjelang hujung minggu, berikutan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya bersedia untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 10 juta tong sehari yang mengecewakan semua peniaga, menyatakan ia tidak memenuhi jangkaan mereka.

Pada 12.30 tengah hari, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 11.35 mata, atau 0.829 peratus, kepada 1,358.41 daripada 1,369.76 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks utama dibuka rendah 8.14 mata kepada 1,361.62 dan berada antara 1,354.28 dan 1,362.16 sepanjang sesi pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 598 berbanding 139, manakala 297 kaunter tidak berubah, 885 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.17 bilion saham bernilai RM826.28 juta.

Peniaga berkata, walaupun OPEC dan sekutunya mungkin telah mencapai komitmen untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 10 juta tong sehari pada Mei dan Jun, ia masih tidak mencukupi. Oleh itu, penanda aras minyak mentah Brent merosot kepada US$31.48 setong, susut 4.14 peratus.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, pengurangan tersebut tidak akan mencukupi untuk mengimbangi pasaran.

“Bagaimanapun, langkah itu bukan mengenai mendorong WTI (West Texas Intermediate) kepada AS$30 setong, walaupun ia akan menjadi sokongan yang dialu-alukan. Sebaliknya, ia mengenai menghalang harga minyak daripada jatuh kepada satu angka.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, langkah tersebut akan memadai untuk menangani lebihan bekalan dengan kapasiti penyimpanan yang ada di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata FBM KLCI telah menunjukkan sedikit peningkatan bermula minggu ini.

Pada Jumaat lepas, FBM KLCI berada pada 1,325.39.

“Sehubungan itu, pelabur dalam sentimen untuk mengambil keuntungan terutamanya pada masa ini, menjelang hujung minggu,” katanya kepada Bernama, sambil menambah kemungkinan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini turut mewujudkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur.

Yee berkata komitmen pengurangan bekalan oleh OPEC dan sekutunya tidak membuat sebarang perubahan mendadak kepada harga berikutan permintaan terhadap minyak mentah telah merosot sejak negara menyekat penumpang melakukan perjalanan.

Mengenai masa depan, beliau menjangka minyak mentah akan diniagakan antara AS$25 dan AS$30 setong.

Sementara itu, Rizab Persekutuan mengumumkan satu lagi pakej bantuan berjumlah AS$2.3 trilion untuk memulihkan ekonomi AS dan mengurangkan impak daripada koronavirus (Covid-19), yang pelabur berharap akan mempengaruhi pasaran serantau.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank merosot satu sen kepada RM7.50, Public Bank susut lapan sen kepada 15.80, IHH berkurangan tiga sen kepada RM5.08, manakala Tenaga naik enam sen kepada RM12.10.

Kaunter paling untung didahului oleh Allianz, yang meningkat 18 sen kepada 13.00, Panasonic naik 12 sen kepada 27.10 dan KLK menambah 10 sen kepada RM21.10.

Daripada saham aktif, kaunter berkaitan minyak dan gas, Hibiscus Petroleum, Bumi Armada dan Velesto, masing-masing susut tiga sen, satu sen dan 1.5 sen kepada 49.5 sen, 17.5 sen dan 15.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 80.24 mata kepada 9,389.67, Indeks FBM Emas Shariah merosot 39.95 mata kepada 10,364.13 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 75.75 mata kepada 9,285.05.

FBM 70 jatuh 81.72 mata kepada 10,969.71 dan FBM Ace merosot 124.52 mata kepada 4,055.18.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.78 mata kepada 109.66, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 228.22 mata kepada 12,246.90 dan Indeks Perladangan turun 39.19 mata kepada 6,244.66.-Bernama