Taikun TikTok Zhang Yiming individu kedua terkaya di Asia

Zhang Yiming mencipta satu lagi pencapaian besar dalam dunia korporat apabila berjaya memintas taikun perniagaan India, Mukesh Ambani untuk muncul sebagai individu kedua terkaya di Asia.
Zhang Yiming mencipta satu lagi pencapaian besar dalam dunia korporat apabila berjaya memintas taikun perniagaan India, Mukesh Ambani untuk muncul sebagai individu kedua terkaya di Asia.
A
A
A

PENGASAS bersama ByteDance, Zhang Yiming mencipta satu lagi pencapaian besar dalam dunia korporat apabila berjaya memintas taikun perniagaan India, Mukesh Ambani untuk muncul sebagai individu kedua terkaya di Asia.

Menurut Indeks Bilionair Bloomberg yang dikeluarkan baru-baru ini, kekayaan Yiming kini dianggarkan mencecah AS$92.8 bilion (kira-kira RM372 bilion), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai individu paling kaya di China.

Kedudukan teratas individu terkaya di Asia masih dipegang oleh Gautam Adani dari India dengan nilai kekayaan AS$117.4 bilion (RM472 bilion) manakala Ambani jatuh ke tangga ketiga dengan AS$86.9 bilion (RM348 bilion).

Peningkatan kekayaan Yiming didorong oleh lonjakan nilai ByteDance, syarikat induk kepada platform media sosial TikTok selain perkembangan pesat syarikat itu dalam sektor kecerdasan buatan (AI).

Yiming berucap pada Sidang Kemuncak Digital China Pertama di Fuzhou, wilayah Fujian pada 23 April 2018. - AFP
Yiming berucap pada Sidang Kemuncak Digital China Pertama di Fuzhou, wilayah Fujian pada 23 April 2018. - AFP

Bloomberg melaporkan kekayaan Yiming meningkat lebih AS$24 bilion (RM96 bilion) selepas penilaian terkini dibuat berdasarkan pegangan pelabur utama termasuk BlackRock, Fidelity Investments dan T Rowe Price Group.

Kejayaan aplikasi TikTok yang terus mengekalkan pengaruh global serta populariti chatbot AI Doubao menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan nilai syarikat berkenaan.

Doubao yang dilancarkan ByteDance kini mempunyai lebih 300 juta pengguna aktif bulanan dan muncul sebagai antara chatbot AI paling popular di China ketika persaingan dalam sektor kecerdasan buatan semakin sengit.

Artikel Berkaitan:

Membina empayar digital dari Beijing

Dilahirkan di wilayah Fujian, China pada tahun 1983, Yiming memulakan perjalanan keusahawanannya dengan menubuhkan ByteDance bersama Liang Rubo pada tahun 2012.

Ketika kebanyakan syarikat internet China memberi tumpuan kepada enjin carian dan portal berita tradisional, beliau mengambil pendekatan berbeza dengan membangunkan platform berasaskan algoritma yang mampu memahami minat pengguna dan menampilkan kandungan secara lebih diperibadikan.

Logo syarikat induk TikTok, ByteDance dipamerkan semasa lawatan media ke Pusat Pameran Zon Demonstrasi Inovasi Nasional Zhongguancun di Beijing pada 10 Februari 2022.
Logo syarikat induk TikTok, ByteDance dipamerkan semasa lawatan media ke Pusat Pameran Zon Demonstrasi Inovasi Nasional Zhongguancun di Beijing pada 10 Februari 2022.

Strategi tersebut terbukti berjaya apabila ByteDance memperkenalkan aplikasi agregator berita Toutiao sebelum mencipta fenomena global menerusi Douyin dan TikTok.

TikTok kemudiannya berkembang menjadi antara aplikasi media sosial paling berpengaruh di dunia dengan ratusan juta pengguna aktif di pelbagai negara, sekali gus menjadikan ByteDance antara syarikat teknologi swasta paling bernilai di dunia.

Kejayaan syarikat itu turut meletakkan Yiming dalam kelompok elit bilionair teknologi global walaupun beliau tidak lagi terlibat secara langsung dalam pengurusan harian syarikat.

Berundur daripada pengurusan, kekal raih keuntungan

Pada tahun 2021, Zhang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ByteDance sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan kepada rakan pengasasnya, Liang Rubo.

Beliau turut melepaskan jawatan pengerusi syarikat, namun kekal sebagai pemegang saham utama yang terus menikmati manfaat daripada pertumbuhan pesat ByteDance.

Pengguna TikTok di seluruh dunia kini mencecah hampir dua bilion orang.
Pengguna TikTok di seluruh dunia kini mencecah hampir dua bilion orang.

Nilai syarikat itu turut menerima rangsangan selepas ketidaktentuan berkaitan operasi TikTok di Amerika Syarikat (AS) semakin reda. Bloomberg sebelum ini mengenakan diskaun risiko terhadap penilaian ByteDance berikutan ancaman larangan operasi TikTok di negara tersebut.

Bagaimanapun, penilaian syarikat bertambah baik selepas penyusunan semula sebahagian operasi perniagaan ByteDance di Washington dan penilaian baharu oleh pelabur institusi.

Fakta menarik:

  • Beliau jarang diwawancara media, memilih kehidupan yang lebih privasi.
  • Berasal dari bandar kecil Longyan di wilayah Fujian.
  • Pernah digelar 'Raja algoritma' China.
  • TikTok menjadikannya antara individu terkaya dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!