Baby si kaki dua

Mohd Faizal mengakui kucing dipanggil Baby penghibur buat dirinya.
Mohd Faizal mengakui kucing dipanggil Baby penghibur buat dirinya.
A
A
A

TEMERLOH – Seekor kucing kurang upaya dinamakan Baby menjadi penghibur kepada sepasang suami isteri di Kampung Bukit Kelulut di sini apabila gelagatnya yang unik mencuit hati walaupun dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna.

Pemiliknya, Mohd Faizal Othman, 40, berkata, kucing berkenaan dipelihara sejak lahir selepas ibu haiwan itu terlepas dari sangkar sebelum pulang dalam keadaan bunting.

Menurutnya, ibu kucing tersebut melahirkan dua anak, namun hanya Baby yang terselamat.

“Baby ada dua beradik, tetapi seekor lagi mati ketika dilahirkan.

“Pada awalnya kami sangka dia juga sudah tidak bernyawa, rupa-rupanya masih hidup,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Kucing yang dilahirkan kurang upaya berusia tiga tahun berdiri menggunakan kaki belakang.
Kucing yang dilahirkan kurang upaya berusia tiga tahun berdiri menggunakan kaki belakang.

Mohd Faizal berkata, disebabkan keadaan fizikalnya yang lemah sejak lahir, dia dan isterinya, Siti Asilah Ismail, 36, mengambil keputusan mengasingkan kucing itu bagi menjaga keselamatannya.

“Dia sukar bergerak seperti kucing biasa kerana kaki depan tidak stabil,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, Baby mempunyai gelagat tersendiri apabila sering berdiri menggunakan dua kaki belakang ketika bergerak atau cuba mencapai sesuatu, sekali gus mencuri perhatian.

“Kadang-kadang dia berdiri guna dua kaki belakang. Itu yang buat dia nampak sangat istimewa dan menghiburkan,” katanya.

Tambahnya, antara cabaran utama adalah ketika memberi makan kerana kucing itu tidak mampu bergerak jauh.

“Dulu masa kecil dia hanya mengesot. Sekarang walaupun kurang upaya, dia tetap aktif.

“Kalau dilepaskan pun dia tidak pergi jauh, hanya bermain sekitar rumah dan mudah dimasukkan semula ke dalam sangkar,” katanya.

Menurut Mohd Faizal, walaupun memerlukan perhatian lebih berbanding kucing lain, kehadiran Baby banyak menceriakan suasana di rumah.

“Setiap hari ada sahaja gelagat dia yang mencuit hati kami. Walaupun keadaannya begitu, dia tetap aktif dan suka bermain,” katanya.

Kisah haiwan kelainan upaya seperti Baby bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan pencinta haiwan di negara ini.

Walaupun dilahirkan dengan kecacatan fizikal atau mengalami kecederaan yang menjejaskan pergerakan, banyak haiwan terus dipelihara dan diberi peluang menjalani kehidupan yang selesa hasil kasih sayang pemilik serta sukarelawan.

Antara yang sering mendapat perhatian ialah usaha penyelamat haiwan, Nurul Ain Abdul Hamid yang menguruskan sebuah pusat perlindungan di Shah Alam.

Selama lebih sedekad, beliau menjaga ratusan kucing dan haiwan terbiar termasuk yang lumpuh, sakit kronik serta mengalami kecacatan fizikal.

Bagi pencinta haiwan, keistimewaan haiwan seperti Baby bukan terletak pada kekurangannya, tetapi pada keupayaannya menyesuaikan diri dan terus menjalani kehidupan seperti biasa.

Dalam masa sama, ia turut mencerminkan sifat ihsan manusia yang sanggup menjaga dan melindungi haiwan yang memerlukan perhatian khas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!