X

Kindly register in order to view this article
!

Polis bersengkang mata pastikan masyarakat patuh PKP

Masih ada beberapa individu berdegil dengan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tinjauan Bernama di sekitar Apartment Putra Harmoni mendapati Polis telah menahan dua remaja perempuan pada jam 11 malam yang melepak di kawasan perumahan terbabit. - Foto Bernama
A
A

NILAI- Ketika masyarakat menikmati pelbagai rancangan menarik di televisyen dan telefon, serta menjamu selera dengan hidangan yang enak di kediaman masing-masing pada sebelah malam, ada insan perlu berkorban nikmat itu untuk memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi sepenuhnya.

Malah, insan berkenaan juga terpaksa meninggalkan keluarga tercinta demi menunaikan amanah yang diberikan untuk memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19), dapat direalisasikan.

Bernama yang mengikuti operasi PKP dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sekitar daerah itu malam tadi, berkesempatan menjelajah setiap pelosok lorong taman perumahan dan lot kedai, serta melihat sendiri bagaimana perjalanan petugas tanpa mengenal erti penat dan jemu.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar yang turut bersengkang mata menyertai operasi selama empat jam itu berkata setakat ini pematuhan arahan PKP semakin baik dan telah mencapai 98 peratus, walau masih ada segelintir yang ingkar.

Operasi itu juga mendapati segelintir individu bukan sahaja ingkar, malah ‘bijak’ mencipta 1001 alasan untuk tidak berada di kediaman masing-masing, meskipun jumlah mereka tidak begitu besar.

Antara alasan yang diberikan ketika ditahan seperti baru pulang bekerja walau bukan tergolong dalam kumpulan perkhidmatan penting seperti yang digariskan kerajaan selain ada memberi alasan menguruskan restoran, sedangkan ketika itu jam menunjukkan pukul 10 malam, sudah melebihi waktu dibenarkan beroperasi iaitu hingga 8 malam sahaja.

Ada juga memberi alasan keluar mengisi minyak kenderaan sedangkan stesen minyak diarah tutup pukul 8 malam sepanjang tempoh PKP malah ada juga yang berada di perhentian bas dengan alasan menunggu kawan.

Ketika operasi pada 8 hingga 12 malam itu, jelas terpamer raut wajah kecewa Mohd Nor Marzukee kerana masih ada individu yang sengaja enggan mematuhi PKP yang dikuatkuasakan demi menjaga kesejahteraan rakyat ekoran negara dilanda wabak Covid-19.

Bagaimanapun, tinjauan di kawasan lot kedai, stesen minyak dan taman perumahan pula mendapati kebanyakan daripada mereka mematuhi sepenuhnya arahan PKP.

“Pelbagai alasan yang tidak boleh diterima akal. Kita tidak boleh terima alasan tersebut dan kita terpaksa buat tangkapan terhadap orang yang melanggar perintah,” katanya, menambah jumlah tangkapan dibuat IPD Nilai setakat ini adalah seramai 40 orang.

Ketua Polis Daerah Nilai itu turut merayu kepada masyarakat agar terus mematuhi PKP dan kekal di kediaman masing-masing.

“Kita hendak rantaian Covid-19 ini cepat putus, kita kena ikut apa yang diarahkan oleh kerajaan...duduklah di rumah dan hanya keluar apabila keadaan yang memerlukan sangat... ini pesanan saya,” katanya.-Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!