Lari lintang-pukang tinggalkan 1.3 tan beras

TUMPAT - Sekumpulan penyeludup lari lintang-pukang menaiki bot ke Thailand dengan meninggalkan 1.3 tan beras seludup selepas diserbu di sebuah pangkalan haram di Kampung Simpangan di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai jenis beras bernilai RM36,665.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika rondaan dijalankan berhampiran pangkalan haram berkenaan, anggota melihat beberapa lelaki sedang memunggah guni beras dari sebuah bot ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero.
"Bagaimanapun, semua suspek telah meloloskan diri ke Thailand. Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang ditinggalkan menemukan 1,385 kilogram (kg) beras pelbagai jenama dipercayai diseludup dari negara jiran," katanya.

Beliau berkata, bekalan beras tersebut dipercayai dibawa masuk secara haram dari Thailand untuk dipasarkan di sekitar Kota Bharu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.
"Semua barang kes telah diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara Negeri Kelantan untuk tindakan serta siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

