Elak cukai, lelaki ditahan seludup sayur melalui pangkalan haram

Bekalan sayur dipercayai akan dihantar ke beberapa pasar raya sekitar Pantai Timur selepas dibawa keluar dari kawasan sempadan. Foto PGA
Bekalan sayur dipercayai akan dihantar ke beberapa pasar raya sekitar Pantai Timur selepas dibawa keluar dari kawasan sempadan. Foto PGA
A
A
A

RANTAU PANJANG - Taktik mendapatkan bekalan sayur dari Thailand melalui pangkalan haram bagi mengelak cukai terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sebuah lori yang sarat dengan sayur-sayuran seludup bernilai lebih RM182,000 di Lubok Gong di sini pada Rabu.

Lebih mengejutkan, pemandu lori berusia 33 tahun itu mengaku sudah dua kali menggunakan laluan haram berkenaan untuk mendapatkan bekalan sayur dari negara jiran sebelum dihantar ke pasar raya sekitar negeri Pantai Timur.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan dibuat menerusi Op Taring Wawasan kira-kira jam 6 petang di pangkalan haram Pok Mat, Lubok Gong.

Menurut beliau, anggota Strike Force Kompeni A Batalion 8 PGA yang sedang melakukan rondaan telah menahan sebuah lori bonded jenis Nissan UD dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan 14 kotak gabus berisi sayur sawi kampung, enam kotak anak jagung dan empat kotak daun ketumbar yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand.

"Pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan bekalan sayur berkenaan sebelum dia ditahan untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Ujar beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM182,400.

Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati suspek mendakwa permit kemasukan sayur masih belum diluluskan menyebabkan dia memilih menggunakan laluan haram selain mengelakkan bayaran cukai.

Menurutnya, bekalan sayur tersebut dipercayai akan dihantar ke beberapa pasar raya sekitar Pantai Timur selepas dibawa keluar dari kawasan sempadan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek turut memaklumkan sebelum ini bekalan sayur diperoleh dari Kuala Lumpur dan Cameron Highlands, namun kini mendapatkan bekalan dari Thailand melalui pangkalan haram," katanya.

Ujar beliau, kes diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!