Murtad virus paling bahaya

No Image Caption
A
A
A

KELUAR dari Islam atau kata lain murtad bukan perkara baharu di negara ini kerana ia berlaku tanpa mengira musim.

Umpama barah yang kian menular dalam akidah masyarakat Islam, murtad tidak boleh dipandang remeh meskipun terdapat pihak yang menganggap ia kes terpencil.

Mereka menggunakan hujah kebebasan beragama sebagai kata kunci dalam bersuara meminta supaya dibuka ruang sesiapa sahaja untuk berbuat demikian.

Tidak terkecuali, ada yang menganggap keputusan keluar daripada Islam adalah urusan peribadi antara individu itu dengan Tuhan.

Undang-undang negeri bagi hukuman murtad sama ada dalam bentuk denda, pemenjaraan atau pemulihan pula dituduh tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

Mereka lupa bahawa tiada kebebasan yang mutlak di dunia ini. Sememangnya Islam menjamin kebebasan beragama, kebebasan berfikir dan menyatakan fikiran.

Namun ini tidak bererti seseorang itu bebas menceroboh hak orang lain, membuat maksiat dan melanggar hukum agama.

Seseorang tidak bebas melanggar peraturan jalan raya sesuka hati, tidak bebas merampas harta benda orang atau mencabul kehormatan anak dan isteri orang.

Artikel Berkaitan:

Jika semua ini tidak dipedulikan maka kehidupan manusia akan menjadi huru-hara dan porak-peranda.

Memetik kata Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Mohd Noor, setiap kebebasan mesti diimbangi dengan tanggungjawab.

“Manusia sentiasa dikehendaki mematuhi undang-undang, hukum agama dan nilai moral.

“Menurut perspektif Islam, kebebasan beragama bermaksud tiada paksaan bagi seseorang yang bukan Islam sama ada mereka mahu menganuti agama Islam, kekal dalam agama mereka atau memilih untuk menganuti agama lain.

“Namun itu tidak bermakna orang Islam pula sewenang-wenangnya boleh keluar Islam atau murtad,” katanya.

Jika seseorang itu memang berniat untuk merosakkan nama baik agama Islam, maka kerajaan berhak mengambil tindakan ke atas individu terlibat selari dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

Hukuman

Di Malaysia, murtad merupakan satu jenayah di bawah bidang kuasa mahkamah syariah di setiap negeri namun bentuk hukuman yang diperuntukan adalah berbeza.

Wujud ketidakjelasan dan ketidakseragaman terhadap undang-undang murtad sehingga memberikan ruang kepada sesetengah pihak mengambil kesempatan.

Ini boleh dilihat daripada beberapa kes permohonan keluar Islam yang mendapat perhatian ramai sehingga menimbulkan keresahan masyarakat Islam.

Antaranya, kes wanita bernama Lina Joy, Hartina Haji Kamaruddin, Siti Fatimah Abdul Karim, anak kepada Yusof Abdullah, Nyonya Tahir dan Aisyah Bokhari.

Menurut Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Awang Musa dalam penulisannya mendapati terdapat tiga kategori pihak yang memohon pengisytiharan status agama di Mahkamah Syariah.

Kategori pertama ialah golongan yang sejak kecil tinggal bersama dan dibesarkan dalam keluarga bukan Islam, mengamalkan agama bukan Islam, hanya tinggal nama dan status Islam dalam kad pengenalan.

Kategori kedua ialah mereka yang menganut agama Islam selepas berumur 18 tahun, tetapi kemudian ingin kembali semula ke agama asal atas sebab tertentu.

Ketiga ialah golongan yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam, tetapi memilih untuk keluar daripada agama Islam atas faktor tertentu.

Suatu kajian perlu dibuat bagi mengenal pasti berapa ramai saudara baru atau mualaf kembali ke agama asal mereka, dan mengapa terjadi demikian.

Bagi Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, isu murtad sebagai virus paling bahaya yang tidak boleh diletakkan sebagai persoalan peribadi dan kepercayaan konflik sahaja.

Menurutnya, ia menyentuh soal keselamatan di bawah tanggungjawab kerajaan yang mana kealpaan, kecuaian dan sikap sambil lewa dalam memelihara akan menyumbang kelemahan dan kemunduran Islam pada masa akan datang.

Dr Harussani sebelum ini pernah membangkitkan isu berkenaan namun ada golongan ilmuwan yang mempertikaikannya, seolah-olah pernyataan itu kosong tanpa fakta dan angka.

"Sedarkah kita bahawa jika ia konflik kepercayaan bersifat peribadi, mengapa begitu agresif Saidina Abu Bakar RA memerangi golongan ini ketika zaman pemerintahannya?

“Ini menunjukkan betapa seriusnya kesalahan murtad ini yang merupakan perbuatan keji dan ALLAH SWT mengancam pelakunya dengan azab yang sangat besar,” kata beliau.

Penggunaan media sosial ketika ini turut memperlihatkan bagaimana golongan sedemikian tanpa berselindung yang semakin berani tampil membuat pengakuan keluar Islam di khalayak ramai.

Bukan sahaja murtad, malah mereka mengeluarkan kenyataan menghina Islam sebagai usaha untuk mempengaruhi masyarakat Islam terutama golongan muda.

Memandangkan isu permohonan perisytiharan keluar Islam bukan isu baharu di negara ini maka sesuatu perlu dilakukan agar ia tidak dibiarkan berlanjutan.

* Mohd Ridzuan Abu Hassan ialah wartawan Sinar Harian edisi Nasional