Ibadah korban persatuan penduduk di Taman Desa Pinggiran Putra meriah, suntik semangat kebersamaan


KAJANG - Persatuan Penduduk Persiaran 5, Taman Desa Pinggiran Putra, di sini dengan kerjasama Komuniti Teres Highway baru-baru ini menjayakan program ibadah korban dalam suasana penuh harmoni, semangat gotong-royong dan ukhuwah.
Pengerusi Persatuan Penduduk Persiaran 5 Taman Desa Pinggiran Putra, Raden Mohd Azmi Raden Abd Rahman berkata, penduduk setempat bersama sukarelawan berganding bahu dalam proses penyembelihan, melapah, membungkus dan mengagihkan daging korban kepada masyarakat serta golongan memerlukan.
Kata beliau, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat turut memperlihatkan semangat perpaduan dan silaturahim yang terus kukuh dalam komuniti.

"Persatuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Setiausaha Politik Menteri Sumber Manusia, Aizuddin Abd Gaffal atas sumbangan lembu korban bagi menjayakan program pada tahun ini.
"Sumbangan tersebut amat bermakna dan mencerminkan keprihatinan serta semangat kebersamaan dalam membantu masyarakat setempat, khususnya dalam mengimarahkan ibadah korban dan berkongsi rezeki bersama penduduk," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Program ibadah korban berlangsung selama dua hari iaitu 29 dan 30 Mei lepas.
Persatuan dalam masa sama mendoakan agar segala amal jariah dan sumbangan yang diberikan diberkati ALLAH SWT serta dikurniakan ganjaran berlipat ganda.
“Bersama kita berkorban dan berkongsi rezeki, menjadi simbol semangat kebersamaan serta keprihatinan yang dizahirkan sepanjang program berlangsung," ujarnya ringkas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
