Jaga akhlak, jauhi dosa rahsia anak pekerja ladang sawit hafaz 30 juzuk al-Quran

GUA MUSANG - Menjaga akhlak dan menjauhi hal yang mengundang dosa menjadi rahsia anak pekerja ladang sawit menghafaz al-Quran sehingga berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk seterusnya merealisasikan impian bapanya untuk melihat dia bergelar hafiz.
Muhammad Iqbal Danial Nasir, 18, berkata, kejayaan menghafaz al-Quran bukan hanya bergantung kepada usaha mengulang hafalan, sebaliknya turut memerlukan penjagaan akhlak dan hubungan yang baik dengan ALLAH SWT.
Anak bongsu daripada enam beradik itu juga berkata, antara perkara yang sentiasa ditekankan kepada dirinya ialah mengelakkan perkara yang boleh menggelapkan hati dan menjejaskan hafalan.
“Kalau boleh, kita elaklah perkara-perkara yang tidak baik. Sekecil-kecil dosa pun perlu dijaga kerana ia memberi kesan kepada hati dan hafalan.
“Selain itu, saya banyakkan zikir dan selawat. Saya rasa amalan itu membantu menenangkan hati dan memudahkan proses menghafaz,” katanya yang tinggal di Ladang Chin Teck di sini.
Bekas Pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung itu berkata, bapanya, Nasir Ludin, 57, sentiasa menyimpan impian untuk melihat dia bergelar hafiz al-Quran walaupun keluarganya tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama.

Menurutnya, minat mendalami bidang tahfiz mula berputik sejak kecil hasil galakan dan dorongan berterusan daripada bapanya itu.
“Masa kecil dulu, ayah yang cadangkan supaya saya masuk sekolah tahfiz. Saya ikut sahaja dan lama-kelamaan timbul minat untuk mendalami al-Quran.
“Saya rasa apa yang saya capai hari ini adalah hasil doa dan restu ibu bapa. Tanpa mereka, saya tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya.
Ibunya, Noraini Mat Resad, 60, yang merupakan suri rumah pula sentiasa memberi sokongan dan dorongan sepanjang pengajiannya.
Lebih membanggakan, Muhammad Iqbal Danial juga berjaya memperoleh Syahadah 20 Juzuk dan Syahadah 30 Juzuk selain meraih keputusan 1A+, 2A dan 4B+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dia juga pernah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Hafazan al-Quran 2023 serta Anugerah Pelajar Terbaik sekolah pada 2024.

Selain itu, Muhammad Iqbal Danial pernah mewakili sekolah dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Kelantan 2023 serta pertandingan Hafazan al-Quran Itqan Peringkat Kebangsaan kali ke-17 tahun ini.
Usaha dan kecemerlangan yang ditunjukkan dalam bidang hafazan serta akademik itu akhirnya membolehkan anak kelahiran Kelantan itu dipilih sebagai Tokoh Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) 2025, baru-baru ini selain menerima tajaan pakej umrah.
Anak kelahiran Kelantan itu turut mengakui dipilih memandangkan katanya ramai lagi pelajar lain yang mempunyai kelebihan tersendiri.
“Memang saya terkejut dan berdebar apabila diumumkan sebagai tokoh. Saya tidak sangka dipilih kerana ramai lagi kawan-kawan yang hebat,” katanya.
Bercita-cita untuk menjadi guru, katanya, al-Quran bukan sahaja menjadi sumber ilmu, malah panduan hidup yang membentuk peribadi seseorang.
“Bagi saya, al-Quran menjadikan hubungan dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan lebih baik.
“Apabila kita rapat dengan al-Quran, kita belajar bagaimana untuk menjaga hubungan sesama manusia dan menjalani kehidupan dengan lebih teratur,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

