'Orang tak bercuti naik kapal begini'

KUALA LUMPUR – Peserta Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, Muhammad Muhsin Zaidi menegaskan pelayaran menuju Gaza menerusi Laut Mediterranean bukan satu ‘percutian’, sebaliknya misi penuh risiko dan cabaran demi membawa solidariti dunia kepada rakyat Palestin.
Muhammad Muhsin yang merupakan penolong pegawai perubatan berkata, peserta terpaksa berdepan laut bergelora selama berpuluh hari menaiki kapal layar kecil selain berisiko dipintas dan ditahan rejim Israel.
“Kalau nak pergi bercuti, orang tak bercuti naik kapal layar saiz kecil begitu membelah Laut Mediterranean beribu batu dalam keadaan ombak menggila.
“Berada dalam kapal layar saiz kecil begini ketika ribut kuat selama berpuluh hari adalah satu benda yang sangat mencabar walaupun untuk orang muda yang sihat.
“Belas kali aku tercampak dari katil masa tidur sebab bot berhayun terlalu kuat kiri dan kanan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Muhammad Muhsin antara 28 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan selamat tiba di tanah air pada Ahad lalu.
GSF sebelum ini memaklumkan, kesemua 50 kapal dalam konvoi bantuannya dirampas Israel. Kesemua kapal itu membawa 428 individu dari 44 negara termasuk 78 warga Turkiye.
Ini bukan kali pertama peserta GSF 2.0 berdepan tindakan Israel. Pada April lalu, sekurang-kurangnya 22 kapal flotila bantuan Gaza dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Greece sebelum lebih 170 aktivis dari pelbagai negara termasuk Muhammad Muhsin bersama tujuh lagi rakyat Malaysia ditahan dan sebahagiannya dipindahkan ke Crete.
Menurutnya, sepanjang pelayaran itu peserta turut berdepan pelbagai kesukaran termasuk tidak dapat mandi dengan sempurna, kekurangan tidur, cuaca sejuk dan kesukaran mendapatkan makanan.
“Belum kira tak dapat mandi, nak makan pun susah, tidur tak cukup, cuaca sejuk. Dalam masa sama, ada risiko untuk diculik Israel. Tak ada orang panggil keadaan ini sebagai percutian. Ini benda susah dan mencabar,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Muhsin berkata, pelayaran GSF amat penting kerana menghimpunkan ratusan peserta dari seluruh dunia sebagai tanda solidariti antarabangsa terhadap Palestin.
“Jika seteruk ini orang luar menerima layanan Israel, bayangkan bagaimana rakyat Palestin yang terpaksa hidup di bawah penindasan mereka selama puluhan tahun.
“Rakyat Palestin bukan berdepan situasi ini sehari dua tetapi sejak sekian lama mereka hidup dalam ketakutan, kehilangan ahli keluarga, rumah dimusnahkan, akses makanan dan ubat-ubatan disekat malah anak-anak membesar dalam suasana perang dan trauma.
“Kami yang berada di laut ini hanya merasai sebahagian kecil tekanan dan ancaman itu untuk beberapa minggu tetapi rakyat Palestin menanggung penderitaan tersebut sepanjang hidup mereka,” katanya.

Katanya, pergerakan kapal layar dari beberapa pelabuhan di Eropah menuju Gaza bukan sahaja membawa bantuan kemanusiaan, malah menjadi simbol bahawa dunia masih mengambil peduli terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Muhammad Muhsin turut menegaskan, pelayaran GSF tidak melanggar mana-mana undang-undang antarabangsa kerana menggunakan laluan perairan antarabangsa.
“Sesiapa yang kata ‘kau expect Israel bentang karpet merah untuk kau’ ternyata gagal memahami fakta sebenar.
“Persoalan lebih besar, siapa yang nak pergi ke Israel? Kami langsung tak ada rancangan untuk pergi ke Israel kerana negara itu tiada kaitan dengan tentatif program kami,” ujarnya.
Menurut beliau, keadaan hanya menjadi tegang apabila Israel bertindak memintas dan menahan 22 kapal GSF di perairan antarabangsa berhampiran Greece, kira-kira 700 batu nautika dari Israel.
Katanya, pihak GSF sememangnya menjangka kemungkinan dipintas Israel dan telah membuat persediaan rapi termasuk merekodkan setiap tindakan yang didakwa melanggar undang-undang antarabangsa.
"Semua bukti tersebut akan dibawa ke mahkamah antarabangsa bagi tindakan lanjut terhadap Israel.
“Apa yang menarik, ia akan melibatkan berpuluh-puluh negara dan kesannya amat besar kepada Israel.
“Majoriti negara itu pula adalah sekutu Israel,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

