Bantuan RM50,000 buka peluang usahawan India berkembang

SHAH ALAM – Program Bantuan Geran Startup Accelerator (UYARVU MADANI) yang menawarkan bantuan sehingga RM50,000 kepada usahawan India daripada kategori B40 dan M40 dilihat berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan belia, khususnya dalam sektor ekonomi baharu yang semakin berkembang.
Presiden Malaysian Indian Youth Council (MIYC), Dhanesh Basil berkata, inisiatif itu membuka peluang lebih luas kepada golongan muda untuk meneroka bidang teknologi digital, e-dagang dan industri kreatif yang kini menjadi antara pemacu utama ekonomi negara.
Menurutnya, program berkenaan merupakan antara enam inisiatif baharu di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bernilai RM65.5 juta yang diumumkan kerajaan bagi memperkukuh pembangunan masyarakat India di negara ini.
“MIYC menyambut baik pelaksanaan UYARVU MADANI kerana ia mampu membantu usahawan muda mendapatkan modal permulaan serta mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka.
“Langkah ini juga berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan berdaya tahan yang mampu mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dhanesh yang juga Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata, pelbagai inisiatif baharu itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan masyarakat India dilaksanakan secara lebih tersusun, bersasar dan berimpak tinggi.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai penekanan terhadap aspek pendidikan menerusi Program Subsidi Pendidikan Awal untuk Kanak-Kanak India (CELIK MADANI) serta Program Tuisyen MADANI (KALVI MADANI) yang memberi manfaat kepada pelajar daripada keluarga B40.
Katanya, pendidikan merupakan instrumen paling berkesan untuk memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi serta membuka peluang mobiliti sosial lebih luas kepada golongan muda.
“Kami percaya usaha memperkasakan masyarakat perlu bermula dengan memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti.
“Inisiatif seperti CELIK MADANI dan KALVI MADANI bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga B40, malah berupaya melahirkan generasi lebih berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Beliau turut berharap MITRA dapat memperluaskan lagi inisiatif berkaitan pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kemahiran serta kebolehpasaran belia selaras dengan keperluan ekonomi masa depan.
Menurutnya, MIYC yang mempunyai 123 cawangan di seluruh negara bersedia menjadi rakan strategik dalam membantu menjayakan pelbagai program di bawah MITRA.
Katanya, jaringan akar umbi organisasi itu mampu memastikan manfaat setiap inisiatif dapat disampaikan secara lebih meluas kepada komuniti sasaran.
“Sebagai organisasi belia India terbesar dengan kehadiran di seluruh negara, MIYC bersedia bekerjasama rapat dengan MITRA bagi memperkukuh agenda pembangunan belia India termasuk dalam bidang pendidikan, pembangunan kemahiran, keusahawanan, kepimpinan dan pemerkasaan ekonomi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

