KKM mohon pengambilan tanah bina Klinik Kesihatan Puncak Alam - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly (dua dari kanan) mengagihkan daging korban kepada penerima pada Program Korban Perdana Parlimen Kuala Selangor di Dewan Komuniti Fasa 3, Bandar Puncak Alam di sini pada Sabtu.
Dr Dzulkefly (dua dari kanan) mengagihkan daging korban kepada penerima pada Program Korban Perdana Parlimen Kuala Selangor di Dewan Komuniti Fasa 3, Bandar Puncak Alam di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengemukakan permohonan pengambilan tanah kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Selangor bagi merealisasikan pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Puncak Alam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, permohonan di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah itu telah dikemukakan kepada JKPTG pada 28 April lalu dan kini menunggu kelulusan.

Menurutnya, permohonan itu membabitkan kawasan di Alam Suria, Puncak Alam yang ketika ini menempatkan deretan lot kedai.

"Kita akan membuat pengambilan tanah di situ dan selepas proses selesai, hak milik kawasan berkenaan akan menjadi milik KKM," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Korban Perdana Parlimen Kuala Selangor di Dewan Komuniti Fasa 3, Bandar Puncak Alam di sini pada Sabtu.

Dr Dzulkefly berkata, kawasan yang dikenal pasti itu melibatkan 11 lot dan bakal menempatkan Klinik Kesihatan Tahap 3 bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat di Puncak Alam.

Menurutnya, kerajaan turut menyediakan peruntukan awal sebanyak RM5 juta bagi kerja-kerja permulaan projek berkenaan.

"Bagi kerja awalan, kerajaan sudah meluluskan RM5 juta manakala kos keseluruhan projek dianggarkan sekitar RM50 juta atau lebih," katanya.

Beliau berkata, sekiranya proses kelulusan dan pengambilan tanah berjalan lancar, kerja pembinaan dijangka dapat dimulakan pada 2027.

Menurut Dr Dzulkefly, KKM juga akan mengadakan pertemuan khas dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mempercepatkan proses berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Semua pihak pada dasarnya sudah bersetuju untuk menyerahkan kawasan berkenaan kepada KKM dan kita berharap proses kelulusan dapat disegerakan.

"Apabila proses pengambilan tanah selesai, projek ini boleh diteruskan mengikut perancangan," tambah beliau.

Sebelum ini, rata-rata penduduk di Puncak Alam dengan anggaran melebihi 200,000 orang mendesak KKM mempercepatkan pembinaan klinik kesihatan di kawasan berkenaan.

Ketiadaan klinik kesihatan di kawasan itu mengundang resah penduduk yang menanti prasarana itu sejak lebih 20 tahun lalu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!