Pemandu jengkaut cedera parah dihempap runtuhan kuari

POKOK SENA – Seorang pemandu jengkaut cedera parah selepas kenderaan dipandunya dihempap runtuhan tanah dan batu kuari dalam kejadian di sebuah kuari di Simpang Bukit Tembaga di sini pada Isnin.
Mangsa, Ahmad Zaidi Dali, 29, dilaporkan tersepit di dalam kabin jengkaut selepas berlaku runtuhan di kawasan Kuari Ismail kira-kira jam 2.07 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Bakar Saad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sebelum sepasukan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba kira-kira sembilan minit kemudian dan mendapati sebuah jengkaut telah dihempap runtuhan tanah serta batu kuari.
“Komander operasi melaporkan terdapat seorang mangsa yang juga pemandu jengkaut terperangkap dan tersepit di dalam runtuhan tersebut.
“Struktur pintu serta rangka kabin jengkaut rosak selain dipenuhi tanah akibat runtuhan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, anggota bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat dengan menstabilkan jentera sebelum menggunakan peralatan hidraulik serta peralatan menyelamat khas bagi membuka ruang akses kepada mangsa.
Katanya, mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
"Operasi melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Pokok Sena.
"Turut membantu di lokasi kejadian ialah pihak polis dan petugas KKM. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.52 petang," ujarnya.

Sementara itu, saksi kejadian yang juga pemandu lori, Rosyazwan Saad, 35, berkata, dia mendengar bunyi runtuhan sebelum tanah dan batu kuari menolak lorinya ke depan.
Menurutnya, dia kemudian melihat jengkaut berkenaan telah dihempap runtuhan sebelum segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.
"Memang nak bantu tapi saya tidak boleh buat apa-apa sebab batu besar. Saya dengar mangsa minta tolong dan tangan dia bergerak. Saya minta dia bersabar dan cakap tunggu bomba sampai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

