Ahli Parlimen terima BPN berdasarkan data cukai 2018

Lembaga Hasil Dalam Negeri
Lembaga Hasil Dalam Negeri
A
A
A

SHAH ALAM – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjelaskan beberapa individu kenamaan termasuk ahli Parlimen diluluskan untuk pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) adalah berdasarkan pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH) dan data rekod percukaian tahun taksiran tahun 2018.

LHDN dalam satu kenyataan hari ini berkata, semakan awal mendapati bahawa proses penentuan penerima BPN adalah teratur dan mereka yang diluluskan mempunyai tahap pendapatan bercukai di dalam julat pendapatan yang layak menerima BPN.

“Sekiranya mana-mana ahli Parlimen atau penerima BPN lain yang ingin memulangkan semula bayaran BPN tersebut, penerima boleh berbuat demikian mengikut prosedur berikut iaitu mengemukakan surat penolakan dengan menyatakan nama penuh dan nombor MyKad dan lampirkan draf bank / cek atas nama Akauntan Negara Malaysia (mengikut jumlah pemulangan).

“Surat itu boleh dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan Malaysia di alamat Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan Malaysia, Presint 2, 62592 Putrajaya,” kata kenyataan itu.

Kerajaan pada 27 Mac lalu mengumumkan BPN sebanyak RM9.24 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (Prihatin) bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pembayaran BPN ialah RM1,600 kepada golongan isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah; RM1,000 kepada isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000; RM800 kepada individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah; dan RM500 kepada individu bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, LHDN mengambil inisiatif memberikan sumbangan tunai berjumlah RM383,350 kepada Tabung Covid-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Derma tunai hasil sumbangan para pegawai LHDN dan Persatuan Kebajikan Islam LHDN (PERKIS) ini adalah selaras dengan hasrat untuk mengurangkan beban kos yang ditanggung kerajaan dan sekaligus dapat memberikan sokongan moral kepada barisan hadapan.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr Sabin Samitah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof di Pejabat Nadma, Putrajaya.

Majlis penyerahan sumbangan ini turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid; Ketua Pengarah Nadma, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Hishamudin Mohamed.