Azeez tak mengaku 12 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Azeez didakwa pertuduhan bersubahat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Azeez didakwa pertuduhan bersubahat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

KUALA LUMPUR- [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah bagi projek jalan raya di Kedah dan Perak berjumlah RM5.2 juta serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta.

Abdul Azeez, 52, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, Abdul Azeez didakwa secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM1.2 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek-projek daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus dan tender terhad bernilai RM197,805,750.18.

Tiga projek itu ialah Projek Jalan Air Kuning ke Kampung Gajah, Daerah Batang Padang, Perak (fasa pertama hingga ketiga), dan Projek Membina Jalan Kampung Merbau Kudung/Felda Teloi Timur, Sik, Kedah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, No. 6, Jalan Tun Perak, City Centre, di sini pada 8 Disember 2010.

Ahli Majlis Tertinggi Umno juga didakwa secara rasuah menerima suapan iaitu wang berjumlah RM4 juta daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat sama membina Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-Kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia yang bernilai RM644,480,000.00

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, J-03-G, Blok J, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Abdul Latif didakwa pertuduhan bersubahat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Abdul Latif didakwa pertuduhan bersubahat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dihadapan hakim sama, abangnya Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, 61, mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada syarikat sama bagi membantu mendapatkan dua projek bernilai RM644,480,000.00.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, J-03-G, Blok J, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hakim Rozina Ayob Abdul Azeez didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat buah syarikat iaitu Menuju Asas, Mangkubumi Sdn. Bhd., Pintas Utama Sdn. Bhd. dan AVP Engineering (M) Sdn. Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Lembah Klang di sini antara 8 Mac 2010 dan 9 Januari 2018.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Ahmad Akram Gharib manakala Abdul Azeez dan Abdul Latif diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Mahkamah membenarkan Abdul Azeez diikat jamin RM800,000 manakala Abdul Latif diikat jamin RM500,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah selain menetapkan 27 Mac ini untuk sebutan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk ketiga-tiga kes itu dibicarakan bersama.