[VIDEO] Tinggal kerjaya, sanggup tidak kahwin demi jaga adik OKU, ibu uzur
Demikian pesanan terakhir daripada Allahyarham Musa Mohammad, 59, bapa kepada Rosnani Musa, 50 yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 22 Jun 2016, laor wartawan Sinar Harian, Norhaspida Yatim.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/781594/edisi/terengganu/tinggal-kerjaya-sanggup-tidak-kahwin-demi-jaga-adik-oku-ibu-uzur
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.
#SinarHarian #BeritaSemasa #sinardihati #jagakeluargasakit #KualaTerengganu">
KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] "Ayah pesan, 'Ros... Ayah tak ada nanti mu susah. Tak ada orang lain dah serupa ayah yang ayah nampak boleh jaga adik dan ibu mu. Ayah rasa mu pun tak sempat nak nikah kahwin... Habis begitu saja mu. Tapi tak apalah, sebab ayah percaya ke mu'."

Demikian pesanan terakhir daripada Allahyarham Musa Mohammad, bapa kepada Rosnani Musa, 50, yang meninggal dunia di usia 59 tahun akibat kemalangan jalan raya pada 22 Jun 2016.
Demi menggalas amanah itu, Rosnani sanggup mengetepikan masa depan sendiri dan tidak berkahwin demi menjaga adik kandungnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), Mohamad Saffari Musa, 42, serta ibu yang semakin uzur, Robiah Mat Daud, 67.

Menceritakan semula perjalanan kehidupannya, Rosnani berkata, sebelum pemergian bapanya, dia merupakan seorang wanita bekerjaya dan bekerja di sebuah pejabat kontraktor.
"Lepas ayah meninggal, emaklah yang menjaga adik OKU. Tetapi emak sebenarnya sudah lama menderita sakit lutut sejak usia 30-an lagi. Bila tengok emak makin tidak larat, saya banyak membantu.
"Masa masih bekerja, saya terpaksa meminta izin daripada majikan untuk pulang separuh hari semata-mata untuk menguruskan adik kerana keupayaan emak semakin merosot.
"Pernah ada ketika najis adik tertinggal (tidak terurus). Selesai waktu pejabat, saya perlu menyambung tugas menjaga adik pula," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Batu Buruk, di sini.
Menurut Rosnani, keadaan fizikal ibunya yang semakin merosot serta kerenah adiknya yang tidak menentu membuatkan dia nekad berhenti kerja demi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada mereka.

Malah, dia yang mengalami masalah pendengaran juga pernah diuji apabila ditolak oleh adiknya sendiri sehingga mengalami masalah tidak boleh berjalan selama lapan bulan.
"Jujur memang saya terlalu sedih pada mulanya kerana saya seorang yang ada kerjaya, tapi tiba-tiba keadaan berubah sepenuhnya. Memang saya rasa sedih sangat.
"Sabar ini bukan senang sebab benda ini terlalu payah, tetapi Tuhan beri saya kudrat untuk harunginya. Syukurlah, kesukaran ini telah saya tanggung selama 10 tahun sejak kehilangan ayah," katanya yang pernah kehilangan seorang lagi adik yang meninggal dunia empat tahun lalu.
Mengulas mengenai keadaan adiknya, Mohamad Saffari, Rosnani yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berkata, adiknya menjadi OKU setelah mengalami demam panas yang kronik sehingga diserang sawan ketika masih kecil.
Katanya, cabaran menguruskan adiknya itu memerlukan kesabaran yang amat tinggi memandangkan adiknya enggan memakai lampin pakai buang.
"Kesukaran menjaga adik ini memang ada. Kalau tidak dijaga betul-betul, dia akan membuang najis merata-rata. Jika terlepas pandang, habis najis disapu ke badan dan dinding rumah. Penat memang penat.
"Malam-malam pula saya tidak dapat tidur lena kerana bimbang dia kencing malam. Kalau tidak dipantau, habis berlinang air kencing satu rumah," kongsinya.
Biarpun berdepan kesempitan hidup, Rosnani amat bersyukur kerana urusan mereka sekeluarga sentiasa dipermudahkan oleh ALLAH SWT melalui bantuan orang sekeliling.
"Pernah satu masa saya langsung tiada wang di tangan, tetapi ALLAH permudahkan. Pergi ke kedai makan, ada sahaja orang tolong bayarkan. Ada yang beri beras dan ada juga rakan-rakan serta orang ramai yang menghulurkan duit," katanya.
Ketika ini, keluarga berkenaan menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan bagi bantuan penjagaan yang mula diterima pada Julai 2025.
Selain itu, Mohamad Saffari menerima bantuan OKU sebanyak RM300 sebulan, manakala ibunya yang mengalami masalah pada lutut dan tidak dapat bergerak turut menerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan.
Mereka sekeluarga juga menerima Bantuan Sara Hidup daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM2,000 setahun, yang mana bantuan tersebut baru dua kali diterima termasuk tahun lalu.
Menurut Rosnani, buat masa ini mereka amat memerlukan sumbangan bagi menampung keperluan harian seperti lampin pakai buang untuk ibunya, kerusi roda, serta sebuah kipas angin demi keselesaan mereka sekeluarga.
Orang ramai yang berhasrat untuk meringankan beban kewangan dan menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh menyalurkannya terus ke akaun Public Bank atas nama Rosnani Musa di nombor akaun 6495418323.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

