Madrasah Tahfiz Muqarrabin beri peluang anak yatim, asnaf dalami ilmu agama

KANGAR – Madrasah Tahfiz Muqarrabin di Taman Beseri Jaya di sini memberi peluang kepada golongan anak yatim dan asnaf mendapatkan pendidikan tahfiz bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada mendalami ilmu agama.
Pengetuanya, Muhammad Amin Arrazi Fakhruddin Arrazi berkata, institusi pendidikan itu memberi penekanan terhadap hafazan al-Quran, disiplin serta pembentukan sahsiah diri dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, usaha tersebut penting bagi melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat pada masa hadapan.
"Kami mahu setiap pelajar mendapat peluang pendidikan agama yang sempurna tanpa mengira latar belakang keluarga.
"Selain hafazan al-Quran, aspek disiplin dan pembinaan akhlak turut diberi perhatian supaya mereka membesar sebagai insan yang mempunyai nilai murni," katanya kepada Sinar Harian.
Muhammad Amin Arrazi memberitahu, suasana pembelajaran yang kondusif turut menjadi keutamaan bagi membantu pelajar memberi tumpuan terhadap pengajian tahfiz sepenuh masa.
Ujarnya, selain mengekalkan kualiti pembelajaran, pihak madrasah turut memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga termasuk keperluan harian, penginapan dan kemudahan asas melalui kos yang diperlukan sebanyak RM6,000 setiap bulan.
Kata beliau, operasi madrasah memerlukan komitmen berterusan terutama melibatkan elektrik dan air sekitar RM7,800 kos keseluruhan bulanan selain penyelenggaraan bangunan serta kemudahan pembelajaran.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Muhammad Amin Arrazi di talian 011-7253 8299 manakala sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank 559012337130 atas nama Madrasah Tahfiz Muqarrabin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

