Ingkar PKP: Tiga warganegara asing dipenjara, denda

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JELEBU - Mahkamah Majistret Jelebu hari ini menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap dua lelaki warga India dan Pakistan selepas didapati bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Rahimah Rahim menjatuhkan hukuman tujuh hari penjara dari tarikh tangkap pada 30 Mac lalu dan denda RM800 ke atas V Paramasivam, 28, dan E Sabaridhasan, 21, yang bekerja sebagai tukang gunting rambut selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang merupakan warga India ditangkap pada jam 10.10 malam, 30 Mac lalu di Jalan Besar Simpang Pertang ke Kuala Klawang dan didapati bergerak dari satu tempat lain ke tempat lain iaitu dari pekan baru ke pekan Simpang Pertang.

Berikutan itu, kedua mereka dituduh mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 (PPPB) yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) PPPB dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tertuduh ketiga yang juga warga Pakistan, Abdul Wase, 30, dijatuhkan hukuman dua hari penjara dari tarikh tangkap semalam dan denda RM800.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh ditahan dalam sekatan jalan raya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD ) Jelebu selepas didapati bergerak dari Kajang ke Kuala Klawang dan dituduh mengikut Peraturan 11(1)Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (no 2)2020.

Kesemua tertuduh turut diarah menjalani hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: