'Kluster 'oversea' menjengkelkan, rindu geng tabligh'

Tangkapan layar hantaran Mohd Afiq menerusi laman sosial Facebook peribadi yang menerima respons ribuan netizen.
Tangkapan layar hantaran Mohd Afiq menerusi laman sosial Facebook peribadi yang menerima respons ribuan netizen.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang petugas barisan hadapan menyifatkan kluster baharu pesakit jangkitan koronavirus (Covid-19) yang kebanyakannya baru pulang bercuti luar negara sebagai kluster menjengkelkan, berbeza dengan kluster tabligh.

Pemilik akaun Facebook bernama Mohd Afiq berkata, kluster baharu yang turut dipanggil kluster 'oversea' ini dikatakan berlagak seolah-olah menjadi mangsa penyakit Covid-19, sedangkan mereka tanpa segan silu memaparkan gambar mereka sedang melancong di luar negara menerusi laman sosial masing-masing tanpa rasa bersalah.

"Malah ada yang siap perli kata corona (Covid-19) tiada kat tempat sejuk dan sebagainya.

"Kadang-kadang terasa macam kita (petugas barisan hadapan) ini lebih kepada merawat sifat pentingkan diri mereka daripada merawat Covid-19 itu," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook peribadi hari ini.

Hantaran Mohd Afiq yang dimuat naik sejak 16 jam lalu itu menerima lebih 41,000 sukaan, 5,000 komen dan 24,000 perkongsian daripada warganet.

Mohd Afiq menerusi hantarannya turut mendakwa kluster 'oversea' lebih banyak tuntutan dan sering merungut mengenai kemudahan disediakan pihak hospital kepada pesakit Covid-19 dikuarantin.

Menurutnya, perangai menjengkelkan kluster itu tidak termasuk dengan segelintir mereka yang mempersoalkan prosedur saringan Covid-19 seperti pengambilan darah dan swab pesakit, bahkan golongan ini lebih sibuk bersama gajet berbanding mendengar arahan petugas kesihatan.

"Berbeza dengan geng (kluster) tabligh, mereka semua sangat memudah memberikan kerjasama. Terasa seronok merawat diorang (mereka) ini walaupun (petugas kesihatan) berpeluh-peluh dek PPE.

Artikel Berkaitan:

"Rasa macam rawat kawan-kawan kita yang sangat mesra dengan kita," katanya.

Mohd Afiq turut menyifatkan kluster tabligh berdamping dengan al-Quran dan zikir dengan hampir keseluruhannya sangat merendah diri, sentiasa memberi kerjasama terbaik dan tidak pernah merungut.

"Sentiasa dengar azan berkumandang dalam wad. Bacaan al-Quran hampir setiap masa. Wad kusta lama yang penuh dengan cerita hantu pun rasanya hantu-hantu lari bertempiaran kerana pendinding semula jadi dek kerana zikir mereka.

"Itulah kluster tabligh. Rindu geng tabligh," katanya.

Perkongsian Mohd Afiq itu menerima respons mengejutkan daripada ribuan netizen dengan sebahagian besar mereka bersetuju dengan pandangan dikemukakan beliau.