Imej satelit dedah kerosakan pangkalan tentera Israel akibat serangan Iran

Imej satelit mendedahkan kesan serangan Iran ke atas aset ekonomi milik AS di loji penapisan Habshan di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Foto Agensi
Imej satelit mendedahkan kesan serangan Iran ke atas aset ekonomi milik AS di loji penapisan Habshan di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Foto Agensi
A
A
A

TEHERAN – Imej satelit baharu mendedahkan kerosakan beberapa pangkalan tentera Israel akibat serangan balas Iran dan Hizbullah sepanjang konflik yang tercetus antara Februari hingga April lalu.

Analisis imej diterbitkan firma pemantauan Soar menunjukkan beberapa kemudahan ketenteraan di wilayah diduduki Israel terkena serangan ketika Iran melancarkan Operasi Janji Benar 4 sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel bermula 28 Februari lalu.

Laporan akhbar Israel, Yedioth Ahronoth yang diterbitkan dengan kelulusan penapis tentera turut mencetuskan persoalan mengenai tahap sebenar kemusnahan yang didakwa cuba disembunyikan Tel Aviv daripada pengetahuan umum.

Imej satelit Sentinel-2 menunjukkan Pangkalan Udara Ramat David terkena serangan di dua lokasi berasingan termasuk kawasan dipercayai menempatkan kenderaan sokongan dan pusat penyelenggaraan pesawat pejuang.

Analisis turut mengesan perubahan ketara di pangkalan Mishar yang menempatkan Unit Risikan 8200 berhampiran Safed dan dipercayai diserang antara 5 hingga 10 Mac lalu.

Selain itu, imej satelit menunjukkan kerosakan di Pangkalan Udara Nevatim yang sebelum ini menjadi sasaran utama serangan Iran.

Satu lagi imej turut memperlihatkan kebakaran besar di Kem Shimshon pada 10 Mac lalu, hari sama Hizbullah mengumumkan serangan dron ke atas kawasan tersebut.

Menurut analisis, kebakaran itu berlarutan beberapa hari dan merebak sejauh kira-kira 200 meter di dalam pangkalan tentera berkenaan.

Perbandingan dengan imej lama mendapati kawasan terbabit digunakan secara aktif bagi operasi ketenteraan termasuk penempatan kenderaan dan logistik tentera.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu turut mendakwa pihak penapis tentera Israel sengaja menurunkan kualiti imej yang disiarkan bagi mengurangkan persepsi terhadap keberkesanan serangan Iran.

Sejak konflik tercetus, Iran dilaporkan melancarkan kira-kira 670 peluru berpandu dan 765 dron ke arah wilayah diduduki Israel.

Perang antara Iran dengan gabungan AS-Israel dihentikan sementara menerusi gencatan senjata yang dimediasi Pakistan pada 8 April lalu.

Bagaimanapun, ketegangan masih berterusan apabila Israel dilaporkan terus mendesak AS melancarkan semula perang terhadap Iran selepas kempen ketenteraan terdahulu gagal mencapai objektif utama mereka.- Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!