Kawalan dipertingkat kekalkan Hulu Terengganu bebas Covid-19

Hulu Terengganu masih berada di zon hijau mengikut data dikeluarkan Jabatan Kesihatan Terengganu semalam.
Hulu Terengganu masih berada di zon hijau mengikut data dikeluarkan Jabatan Kesihatan Terengganu semalam.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Sekatan jalan dan pengawasan akan terus diperketatkan di daerah Hulu Terengganu bagi memastikan daerah itu kekal berada di zon hijau iaitu sifar kes wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, seramai 260 anggota polis termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat bagi memastikan masyarakat di daerah itu sentiasa mematuhi arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Adli Mat Daud
Mohd Adli Mat Daud

"Selain polis dan tentera kita juga bekerjasama bersama lain-lain agensi seperti Rela, bomba, Pejabat Daerah dan Penguatkuasa Majlis Daerah.

"Jadi, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan daerah itu terus mengekalkan rekod bersih tanpa wabak Covid-19 sehingga tamat tempoh PKP," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Adli berkata, buat masa ini terdapat tujuh sekatan jalan raya melibatkan laluan-laluan utama untuk masuk ke Hulu Terengganu.

"Kawalan di laluan masuk ke daerah ini amat ketat, jika tiada bukti dan tidak boleh memberi pengesahan kita akan arahkan mereka untuk berpatah balik.

"Begitu juga bagi penduduk di kawasan ini, hanya keluar rumah apabila ada perkara yang mustahak sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan ketat dilakukan di laluan utama ke daerah Hulu Terengganu. - Foto IPD Hulu Terengganu
Pemeriksaan ketat dilakukan di laluan utama ke daerah Hulu Terengganu. - Foto IPD Hulu Terengganu

Katanya, tahap pematuhan tinggi, kerjasama dan penguatkuasaan yang diperketatkan antara faktor yang membantu mengekang penularan wabak Covid-19 di daerah terbabit.

Beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan bagi kes melanggar PKP sejak ia dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu.

"Apa yang kita lakukan di daerah ini sama seperti sekatan jalan dan pengawasan di tempat-tempat lain. Mungkin ini rezeki dikurniakan buat masa ini.

"Kita berterima kasih atas pematuhan yang ditunjukkan masyarakat di sini serta kerjasama seluruh pemimpin setempat, agensi terlibat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan daerah ini kekal sifar Covid-19," katanya.