'Ikhlas, patuh rukun dan jaga akhlak formula haji mabrur' - Luqman

Luqman (gambar kecil) berkata, semua jemaah wajib berada di Arafah tanpa mengira pangkat, bangsa atau kedudukan sekali gus menggambarkan persamaan darjat dalam Islam.
Luqman (gambar kecil) berkata, semua jemaah wajib berada di Arafah tanpa mengira pangkat, bangsa atau kedudukan sekali gus menggambarkan persamaan darjat dalam Islam.
A
A
A

MAKKAH – Keikhlasan hati, mematuhi rukun serta syarat ibadah dan menjauhi maksiat menjadi tiga formula utama untuk memperoleh haji mabrur, kata Pakar Rujuk Ibadat Haji Tanah Suci, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Menurut beliau, ketiga-tiga perkara itu menjadi asas penting yang menentukan sama ada ibadah haji seseorang diterima ALLAH SWT tanpa bergantung kepada soal kemewahan atau fasiliti yang dinikmati sepanjang berada di Tanah Suci.

“Haji mabrur itu digambarkan dalam hadis, balasannya tiada lain melainkan syurga.

“Untuk mendapat haji mabrur, ada tiga perkara perlu dijaga iaitu pertama keikhlasan, kedua mematuhi segala rukun dan syarat ibadah dan ketiga menjauhkan diri daripada maksiat,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, kemudahan lebih selesa atau pakej mewah bukan ukuran penerimaan ibadah seseorang kerana yang dinilai ialah hati dan penghayatan ketika menunaikan haji.

“Mungkin orang yang fasilitinya lebih mewah lebih ikhlas daripada orang yang tiada fasiliti dan boleh juga sebaliknya.

“Keikhlasan itu tidak bergantung kepada fasiliti, tetapi bergantung kepada sejauh mana seseorang menghayati ibadah hajinya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ibadah haji sebenarnya menghimpunkan keseluruhan penghayatan dalam rukun Islam bermula daripada syahadah, solat, puasa dan zakat sebelum disempurnakan melalui ibadah haji.

Katanya, syahadah menjadi pengisytiharan keimanan kepada ALLAH SWT, manakala solat pula mengukuhkan akidah tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Puasa melatih jiwa dan kesabaran, zakat pula melambangkan pengorbanan terhadap harta. Dan haji pula menghimpunkan semua unsur itu termasuk pengorbanan, kesabaran, hubungan sesama manusia dan kepatuhan mutlak kepada ALLAH SWT,” katanya.

Mengulas mengenai kepentingan wukuf di Arafah, beliau berkata, Nabi Muhammad SAW sendiri menyebut “Al-Hajju Arafah” bagi menggambarkan kedudukan wukuf sebagai rukun terbesar dalam ibadah haji.

Katanya, semua jemaah wajib berada di Arafah tanpa mengira pangkat, bangsa atau kedudukan sekali gus menggambarkan persamaan darjat dalam Islam.

“Di Arafah tiada kasta. Orang kaya atau miskin memakai ihram yang sama dan hadir dengan tujuan sama iaitu menyembah ALLAH SWT,” katanya.

Beliau berkata, hari Arafah juga mempunyai kelebihan besar sehingga umat Islam yang tidak menunaikan haji disunatkan berpuasa pada hari tersebut.

Bagaimanapun, katanya, jemaah haji tidak digalakkan berpuasa ketika wukuf kerana perlu memberi tumpuan kepada ibadah, doa dan zikir.

“Waktu wukuf ialah masa terbaik untuk berdoa, bertalbiah, bertahlil, bertasbih dan memperbanyakkan zikrullah.

“Kita digalakkan mengelakkan perkara tidak bermanfaat supaya dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan keadaan jemaah yang berada dalam ihram dengan pakaian sederhana, berdebu dan kusut masai sebenarnya menggambarkan sifat rendah diri seorang hamba di hadapan ALLAH SWT.

Katanya, keadaan itu juga melambangkan pelepasan diri daripada urusan dunia demi mengabdikan diri sepenuhnya kepada ALLAH SWT.

“Kita datang meninggalkan keluarga, pekerjaan dan segala kesenangan dunia semata-mata kerana menyahut panggilan ALLAH SWT,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan jemaah supaya menjaga akhlak serta mengawal emosi ketika berada di Tanah Suci kerana cabaran suasana sesak, cuaca panas dan perubahan rutin harian boleh mengundang tekanan emosi.

“Kita kena cuba bertoleransi, jangan cepat marah dan belajar mengawal emosi. Nabi SAW sebut orang yang kuat bukan kerana gagah, tetapi orang yang mampu mengawal dirinya ketika marah,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara penting yang perlu dijaga sepanjang musim haji ialah hubungan sesama jemaah termasuk mengelakkan pertengkaran dan sikap suka membantah.

“Kalau ada masalah, bincang dengan baik dan cuba bersangka baik sesama jemaah,” katanya.

Keseluruhan ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal ke Tanah Suci, tetapi sebuah proses penyucian diri yang menuntut kesungguhan hati, disiplin ibadah dan kekuatan rohani yang berterusan.

Beliau juga menegaskan setiap jemaah sebenarnya sedang melalui fasa pendidikan spiritual yang menguji keikhlasan dalam bentuk paling nyata.

Beliau berkata, apabila seluruh rukun, syarat dan adab haji dijaga sebaiknya, maka ia akan membentuk jiwa yang lebih tunduk, sabar dan rendah hati dalam menghadapi kehidupan selepas pulang ke tanah air.

Justeru, pengalaman di Arafah, Mina dan Makkah seharusnya menjadi titik perubahan yang kekal dalam diri seorang Muslim.

“Jika semua ini dihayati sepenuhnya, maka itulah antara tanda awal menuju haji mabrur,” katanya yang merumuskan bahawa ibadah haji bukan sekadar ritual tahunan, tetapi sebuah perjalanan pulang dengan hati yang baharu dan jiwa yang lebih dekat kepada ALLAH SWT.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!