Dua lelaki mencurigakan ditahan

Dua lelaki ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan menunggang motosikal jam 4 pagi. -Foto: FB Polis Daerah Ipoh
Dua lelaki ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan menunggang motosikal jam 4 pagi. -Foto: FB Polis Daerah Ipoh
A
A
A

IPOH - Polis menahan dua lelaki kerana memiliki peralatan yang disyaki digunakan untuk pecah rumah dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di hadapan sebuah kedai di Taman Perpaduan Ria, Tambun di sini hari ini.

Lelaki berusia 24 dan 22 tahun itu ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sekitar jam 4.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pemeriksaan menemui lima pemutar skru pelbagai jenis dan sebatang playar pelbagai guna dalam sebuah beg galas.

"Sepasukan anggota URB yang sedang buat tugas rondaan di Taman Tropicana, Bercham telah nampak dua lelaki menaiki motosikal jenis SYM dalam keadaan mencurigakan.

Peralatan seperti playar dan pemutar skru dijumpai dalam beg milik suspek. -Foto: FB Polis Daerah Ipoh
Peralatan seperti playar dan pemutar skru dijumpai dalam beg milik suspek. -Foto: FB Polis Daerah Ipoh

"Setibanya di Taman Perpaduan Ria, anggota memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan badan, namun tidak menjumpai apa-apa barang salah.

"Pemeriksaan sebuah beg dalam raga motosikal menemui kesemua peralatan tersebut. Tindakan diambil dengan merampas peralatan itu dan menahan kedua-dua suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek berusia 22 tahun itu mempunyai dua rekod lampau dalam samun bersenjata berkumpulan dan curi manakala, rakannya tiada rekod jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek direman selama tiga hari bagi meneruskan siasatan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 28(1)(i) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.