Usahawan perlu berani rebut peluang, kompetitif dalam dunia perniagaan

MELAKA - Usahawan diseru terus berani merebut peluang serta bersedia melakukan perubahan dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif dan bergerak pantas.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Negeri Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, usahawan Bumiputera khususnya perlu mengubah minda daripada berniaga sekadar untuk kelangsungan hidup kepada membina perniagaan yang mampu berkembang, mencipta peluang pekerjaan serta memberi impak kepada masyarakat.
“Dalam era hari ini, usahawan perlu pantas menyesuaikan diri, kreatif dan berani merebut peluang berdasarkan situasi serta keperluan semasa, di samping peka terhadap aspek penjenamaan, inovasi dan teknologi digital dalam memasarkan produk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA) 2026 Peringkat Negeri Melaka di sini pada Khamis, anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah MARA, Zahari Aziz; Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon; Pengarah MARA Negeri Melaka, Shah Zulmizan Safar; serta Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Melaka, Farosham Naizamohideen.
Beliau berkata, program itu menjadi platform strategik dalam memperluas jaringan kerjasama dan perkongsian ilmu melalui sesi forum bagi memperkasa serta memotivasikan usahawan yang hadir untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka.
Ujar beliau, antara pengisian program ialah Bual Bicara Kepimpinan dan Agenda Keusahawanan; “The Founders Circle: Dari Jenama Biasa ke Ikon Pasaran – Membina, Mengukuh dan Menskalakan Jenama dalam Realiti Pasaran Hari Ini serta Sembang Santai Inspirasi bersama Datuk Chef Wan.
“Ia menghimpunkan barisan kepimpinan MARA, tokoh perniagaan, usahawan serta komuniti setempat melalui pelbagai sesi perkongsian itu amat bertepatan dalam memperkukuh agenda ekonomi dan keusahawanan Bumiputera.
“Diharap peserta dapat memanfaatkan peluang untuk mengumpul maklumat serta menimba pengalaman melalui sesi yang telah disusun sebelum mengaplikasikan ilmu tersebut ke arah melonjakkan lagi perniagaan masing-masing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

