Hubungan keluarga, tekanan kerja antara aduan semasa PKP

Kebanyakan aduan diterima adalah berkaitan dengan masalah hubungan apabila terpaksa tinggal bersama-sama dengan saudara-mara atau ahli keluarga semasa tempoh PKP. - Foto 123RF
Kebanyakan aduan diterima adalah berkaitan dengan masalah hubungan apabila terpaksa tinggal bersama-sama dengan saudara-mara atau ahli keluarga semasa tempoh PKP. - Foto 123RF
A
A
A

GEORGETOWN - Isu berkaitan hubungan kekeluargaan dan tekanan kerja adalah antara aduan paling biasa dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Befrienders Penang, Damian Lee berkata, kebanyakan aduan diterima adalah berkaitan dengan masalah hubungan apabila terpaksa tinggal bersama-sama dengan saudara-mara atau ahli keluarga semasa tempoh larangan pergerakan bagi membendung wabak koronavirus (Covid-19).

“Ini akan menjadi lebih buruk sekiranya mana-mana daripada mereka mempunyai masalah mental dan jika mereka terperangkap dalam keadaan sama dengan saudara-mara atau ahli keluarga, ia akan mencetuskan kemurungan, kebimbangan atau kecenderungan membunuh diri,” katanya hari ini.

Menurutnya, individu tidak perlu bimbang untuk menghubungi Befrienders kerana identiti mereka tidak didedahkan dan semua maklumat dirahsiakan serta memberi sokongan emosi kepada mereka yang memerlukan melalui pendekatan mendengar secara aktif masalah mereka.

Damian juga menegaskan terdapat juga aduan individu bahawa mereka menghadapi lebih banyak tekanan apabila bekerja dari rumah berbanding di tempat kerja masing-masing.

Beliau berkata, individu mendapati lebih sukar untuk bekerja dari rumah dengan sumber yang terhad dan sekiranya menghadapi masalah dengan tugas, sukar untuk mereka berkomunikasi dengan rakan sekerja.

“Mereka berkata sebelum PKP, mereka hanya perlu memanggil rakan sekerja di pejabat setiap kali memerlukan bantuan dengan kerja tetapi sekarang sukar untuk menghubungi mereka,” katanya.

Sementara itu, Damian berkata, khidmat talian hotline Befrienders Penang telah digantung sementara sepanjang tempoh PKP yang berakhir 14 April ini.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, perkhidmatan kami masih boleh didapati secara dalam talian...oleh itu individu yang memerlukan bantuan atau sokongan emosi boleh menghubungi kami melalui-e-mel atau media sosial," katanya.

Befrienders Pulau Pinang boleh dihubungi melalui e-mel di alamat pat@befpen.org. Facebook (Befrienders Penang) atau menerusi aplikasi WhatsApp di talian 011-5699-7687. - Bernama