X

Kindly register in order to view this article
!

Gelandangan diselamatkan elak jangkitan Covid-19

Hamdan bertanya sesuatu kepada gelandangan yang ditemui dalam operasi bersepadu itu kelmarin.
A
A

KUANTAN - Seramai 13 gelandangan diselamatkan di sekitar bandar Kuantan dalam Ops Prihatin Bantu Gelandangan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Operasi dijalankan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) melibatkan gelandangan berumur 27 hingga 68 tahun dengan 11 daripadanya ditempatkan di penempatan sementara di asrama Majlis Sukan Pahang (MSP) Indera Mahkota di sini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Nor Kamawati Kamal berkata, daripada jumlah itu, seorang lagi dihantar menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana menghidap penyakit tibi, manakala seorang wanita dipercayai mengalami masalah mental dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

"Lokasi tumpuan sekitar Jalan Mahkota, Jalan Besar, sekitar Pasar Besar Kuantan, kawasan stadium dan Padang MPK 2 di sini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelasnya, operasi kali ini disertai Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin bersama 15 pegawainya selain pegawai dari JKM, Agensi Antidadah Kebangsaan, polis, Pejabat Kesihatan Daerah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Hamdan bertanya sesuatu kepada gelandangan yang ditemui dalam operasi bersepadu itu sebelum diselamatkan.
Hamdan bertanya sesuatu kepada gelandangan yang ditemui dalam operasi bersepadu itu sebelum diselamatkan.

Mengulas lanjut, Norkamawati berkata, gelandangan diselamatkan itu kebanyakannya mempunyai masalah kesihatan termasuk gangguan mental, manakala mereka yang ditempatkan di asrama MSP dibekalkan pakaian, alat kebersihan, penutup mulut serta sanitizer.

"Keperluan mereka termasuk makan minum dan ubat-ubatan diuruskan sukarelawan dari Gabungan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Negeri Pahang (GPSK) di bawah pemantauan MPK.

"Pihak Muip menyalurkan peruntukan bagi keperluan golongan itu sepanjang berada di pusat berkenaan," katanya.

Menurutnya, MPK akan meneruskan operasi bersepadu itu di beberapa lokasi lain yang dikenal pasti menjadi tumpuan gelandangan di sekitar bandar ini agar golongan itu dapat diselamatkan dan ditempatkan di pusat yang disediakan.

"Pusat ini dijangka beroperasi sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat," katanya.

Gelandangan ditempatkan sementara di asrama Majlis Sukan Pahang (MSP) Indera Mahkota.
Gelandangan ditempatkan sementara di asrama Majlis Sukan Pahang (MSP) Indera Mahkota.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus