X

Kindly register in order to view this article
!

BSN mansuh kadar faedah dua peratus

A
A

KUALA LUMPUR - Bank Simpanan Nasional (BSN) memansuhkan kadar faedah dua peratus kepada kosong peratus bagi BSN Micro/i Kredit Prihatin untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro yang terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, langkah itu untuk menyokong inisiatif dan keprihatinan kerajaan yang menyediakan pakej prihatin PKS tambahan sebanyak RM10 bilion dan diharapkan dapat terus membantu meringankan beban kewangan PKS.

"Sebagai antara industri yang menyumbang dengan signifikan kepada ekonomi negara, BSN berharap PKS dapat menggunakan peluang ini untuk kekal mampan dalam menghadapi cabaran ekonomi yang melanda ketika ini.

"Di bawah BSN Micro/i Kredit Prihatin, sebanyak RM75,000 amaun pembiayaan maksimum disediakan bagi setiap usahawan dengan tempoh pinjaman atau pembiayaan antara satu hingga 5.5 tahun kepada semua usahawan mikro dalam pelbagai segmen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, BSN menetapkan beberapa syarat kelayakan untuk memohon BSN Micro/i Kredit Prihatin iaitu usahawan mikro yang perniagaan mereka terjejas akibat wabak Covid-19 dan perusahaan Mikro (milikan tunggal, Perkongsian atau Syarikat Sdn. Bhd).

"Selain itu perusahaan mestilah dimiliki warganegara Malaysia, perniagaan dijalankan secara sepenuh atau separuh masa dan perniagaan beroperasi tidak kurang daripada enam bulan.

"PKS yang ingin memohon perlu melayari laman Facebook BSN untuk menyemak senarai maklumat Pegawai BSN yang berhampiran untuk dihubungi," katanya.

Yunos berkata, semak dokumen yang diperlukan untuk permohonan seperti sijil pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan kad pengenalan semua pengarah, pemilik tunggal atau rakan kongsi, penyata akaun bank untuk tiga bulan terkini dan lain-lain dokumen sekiranya diperlukan.

"Bagaimanapun, orang ramai dan pelanggan diingatkan untuk membuat permohonan melalui BSN sahaja, serta sentiasa berwaspada dengan scammer yang menyamar sebagai Pegawai BSN," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus