Putin tiba di Beijing perkukuh hubungan strategik Russia-China

BEIJING – Presiden Russia, Vladimir Putin, tiba di ibu negara China malam tadi bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Presiden China, Xi Jinping.
Menurut laporan agensi berita Russia, TASS, lawatan itu merupakan kunjungan rasmi ke-25 Putin ke China sejak beliau mula memegang jawatan presiden pada tahun 2000, sekali gus mencerminkan hubungan strategik yang semakin erat antara Moscow dan Beijing.
Ketibaan Putin di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing disambut Menteri Luar China, Wang Yi, bersama barisan diplomat kanan kedua-dua negara dalam upacara rasmi penuh istiadat.
Bendera Russia dan China dikibarkan ketika barisan kawalan kehormat memberikan penghormatan, selain pelajar sekolah dan universiti tempatan turut menyambut ketibaan delegasi Russia sebelum Putin dibawa menaiki kenderaan rasmi presiden, Aurus, ke kediaman negara.
Pembantu Kremlin, Yury Ushakov, berkata jadual kerja Putin sepanjang lawatan itu disifatkan sebagai “sangat padat”.
Antara agenda utama ialah rundingan rasmi peringkat tinggi bersama Xi membabitkan delegasi besar Russia yang turut disertai lima Timbalan Perdana Menteri, lapan menteri kabinet serta gabenor Bank Pusat Russia.
Kedua-dua pemimpin juga dijadualkan mengadakan sesi dialog tertutup secara santai sambil minum teh bagi membincangkan beberapa isu antarabangsa sensitif termasuk konflik Ukraine dan situasi geopolitik di Timur Tengah.
Selain itu, Putin dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri China, Li Qiang, bagi membincangkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala.
Sepanjang lawatan itu, kedua-dua negara turut dijangka memeterai kenyataan bersama serta puluhan dokumen perjanjian antara kerajaan meliputi sektor tenaga, pelaburan dan logistik.
Sebelum mendarat di Beijing, Putin dalam ucapan video yang dipetik TASS berkata hubungan diplomatik Russia-China kini berada pada tahap “luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini”.
Lawatan itu turut dianggap signifikan kerana berlangsung sempena ulang tahun ke-25 pemeteraian Perjanjian Kejiranan Baik dan Kerjasama Mesra China-Russia 2001.
Ia juga berlangsung hanya beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menamatkan lawatan diplomatiknya ke China.
Moscow dan Beijing menegaskan kerjasama strategik antara kedua-dua negara bukan bertujuan menentang mana-mana pihak, sebaliknya bagi memperkukuh undang-undang antarabangsa serta menyumbang kestabilan kepada landskap politik global yang semakin mencabar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

