Pemuda UMNO Pulau Pinang gesa DAP hentikan kenyataan provokatif

GEORGE TOWN – Pemuda UMNO Pulau Pinang menggesa pemimpin DAP menghentikan kenyataan berbaur provokatif yang disifatkan boleh mengguris perasaan orang Melayu serta menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.
Ketuanya, Mohd Hilmi Elias berkata, sejak kebelakangan ini beberapa pimpinan DAP dilihat berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan kontroversi yang mencetuskan keresahan rakyat khususnya dalam kalangan orang Melayu.
"Lim Guan Eng (Penasihat DAP) seharusnya cermin diri terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada pihak lain berkaitan isu perkauman kerana parti itu sendiri sering menampilkan pemimpin yang mengeluarkan kenyataan bersifat provokatif," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Guan Eng menyifatkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan UMNO sebagai ‘progresif palsu’ susulan kenyataan Khairy yang mempertahankan gaya politik Datuk Dr Akmal Saleh yang masih diperlukan dalam parti berkenaan.
Guan Eng berkata, Khairy seolah-olah menerima alasan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membiarkan pendekatan Akmal kerana parti itu berdepan ancaman politik di sebelah kanan, khususnya daripada Perikatan Nasional.
Dalam pada itu, Mohd Hilmi berkata, kenyataan terbaru melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua yang didakwa seolah-olah berbalas kenyataan susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar pemimpin DAP mempelajari semula Rukun Negara membuktikan masih terdapat pimpinan parti itu yang gagal memahami sensitiviti masyarakat majmuk.
“Sebarang kenyataan yang boleh ditafsir sebagai mempertikaikan perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja tidak matang malah berpotensi mencetuskan ketegangan kaum sekiranya tidak dikawal dengan baik,” katanya.
Mohd Hilmi berkata, dinamika politik negara perlu difahami semua pihak dan sebarang tindak balas daripada kelompok yang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam serta hak orang Melayu dan Bumiputera akan tercetus apabila ada pihak cuba mengusik asas pembentukan negara.
"Perkara berkaitan institusi diraja, Perlembagaan Persekutuan dan sensitiviti kaum perlu ditangani secara berhati-hati demi memastikan perpaduan negara terus terpelihara.
"Sehubungan itu, Pemuda UMNO Pulau Pinang menggesa DAP menasihati pemimpin parti berkenaan supaya lebih berhemah dalam mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan polemik yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini," ujarnya lagi.
Terdahulu, Tony Pua dilaporkan berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara keseluruhannya terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berpelembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

